PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya tidak membuat pengumuman terlebih dahulu tentang siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali kerana ia boleh mencetuskan persepsi kurang baik dalam kalangan rakyat membabitkan institusi kehakiman.
Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Dr. Rais Yatim menjelaskan, SPRM hanya perlu membuat pengumuman selepas siasatan selesai dilaksanakan dan sekiranya ada keperluan untuk berbuat demikian.
“Tindakan membuat pengumuman bahawa SPRM membuka kertas siasat dilihat boleh menjejaskan siasatan berlangsung apabila langkah tersebut boleh memberi kesan kepada segala prosedur siasatan sedang dilakukan suruhanjaya itu.
“Oleh itu adalah lebih baik SPRM siasat dahulu dan menyerahkan laporan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya berbanding apa yang berlaku sebelum ini, mereka mengumumkan siasatan yang sedang dilakukan,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini mengesahkan suruhanjaya itu telah memulakan siasatan terhadap Mohd. Nazlan berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya, berikutan laporan yang dibuat berkaitan perkara itu.
Dalam pada itu pakar perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, SPRM berkuasa menentukan untuk menyiasat sesiapa pun selagi perkara itu termaktub di bawah undang-undang negara.
“Dalam soal ini (siasatan terhadap hakim), kerajaan tidak perlu menubuhkan tribunal. Buang masa dan duit.
“Saya berpandangan jika hakim itu boleh membangkitkan ketidakpuasan hatinya jika melihat siasatan dijalankan melanggar peraturan. Tetapi selagi tidak melanggar, SPRM berhak melakukan siasatan.
“Hal ini kerana sesiapa pun di negara ini termasuk badan kehakiman tidak terlepas daripada undang-undang dan perkara ini pernah berlaku sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sebelum ini, penulis blog, Raja Petra Kamaruddin mengeluarkan satu laporan yang menyebut nama Hakim Mohd Nazlan.
Beliau kemudian membuat satu laporan polis pada 21 April berhubung artikel berita disiarkan portal Malaysia Today yang mendakwa beliau sedang disiasat berhubung pemindahan wang yang tidak dapat dijelaskan ke dalam akaun banknya.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata, Mohd. Nazlan menafikan “tuduhan-tuduhan palsu, tidak berasas serta berniat jahat” yang bertujuan menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai seorang Hakim Mahkamah Rayuan. – UTUSAN










