pasarkan madu kelulut

Smart Community USM pasarkan madu kelulut Sarawak ke Australia

SMART Community USM mengambil inisiatif memasarkan madu kelulut yang rendah glisemik indeks (GI) dan tinggi kandungan gula ‘trehalulosa’ dari Sarawak ke Sydney, Australia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: SMART Community Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) mengambil inisiatif memasarkan madu kelulut yang rendah glisemik indeks (GI) dan tinggi kandungan gula ‘trehalulosa’ dari Sarawak ke Sydney, Australia.

Ketua Program SMART Community, Syed Yusof Syed Kechik berkata, madu kelulut Sarawak dengan nilai pasaran RM60,000 itu diterbangkan 31 Mac lalu ke Australia buat pertama kali melalui kerjasama bersama rakan industri, Bayu Gagah Marketing Sdn. Bhd. bagi memenuhi permintaannya di negara tersebut.

Katanya, Australia bukan pasaran luar negara pertama untuk madu kelulut Sarawak di bawah Program SMART Community yang diberi mandat oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) kepada USM sebaliknya merupakan negara kelima selepas China, Jepun, Amerika Syarikat dan Taiwan.

“Selama lapan bulan program ini dilaksanakan, para peserta yang terdiri daripada keluarga B40 di Sarawak mampu meraih pulangan sebanyak RM132,689 dan SMART Community turut berjaya menjana RM323,902 hasil memasarkan madu kelulut ke peringkat antarabangsa.

“Melihat kepada angka jualan yang memberangsangkan, SMART Community menyasarkan keperluan terhadap madu kelulut Sarawak sebanyak 500 kilogram bagi penghantaran baharu ke pasaran global kerana percaya mempunyai potensi besar untuk melangkah jauh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Majlis Pelepasan Penghantaran Pertama Madu Kelulut melalui SMART Community ke Australia, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bayu Gagah Marketing, Hisham Yusof dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof. Datuk Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Dalam pada itu, Dr. Abdul Rahman berkata, pihaknya yakin program itu dapat memberi manfaat kepada seluruh rantaian bekalan madu kelulut menerusi inisiatif yang tepat dan bantuan secara menyeluruh.

“Kita ingin meneroka lebih jauh potensi madu kelulut Sarawak  sebagai prospek eksport yang lebih menguntungkan dan memperluas pasaran ke negara-negara Eropah dalam tiga hingga empat tahun lagi.

“Ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk terus memperkukuhkan sumbangan sektor ini kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Hisham berkata, pengedaran madu kelulut ke Australia adalah tindakan berani kerana negara tersebut adalah pengeluar madu terbesar di dunia selepas China, Argentina dan Mexico dengan pengeluaran antara 20,000 hingga 30,000 tan setahun.

“Pemasaran madu kelulut di Sydney, Australia melalui Program SMART Community yang diketuai oleh Adam Hutchison kali ini akan lebih memfokuskan kepada strategi segmentasi produk dan pasaran sasaran secara selektif,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya