SJR kesan penjenayah, ribuan kenderaan diperiksa di PJ

SJR kesan penjenayah, ribuan kenderaan diperiksa di PJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu operasi bersepadu dan sekatan jalan raya (SJR) dilakukan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di enam lokasi membabitkan enam laluan utama sekitar daerah Petaling Jaya (PJ), dekat sini, tengah malam tadi.

Dalam operasi bermula 12 tengah malam itu, ribuan kenderaan diperiksa dalam usaha mengurangkan kadar jenayah dan pelanggaran undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata, operasi dijalankan susulan negara kini memasuki fasa peralihan ke endemik yang memberi kebebasan kepada orang ramai untuk menjalankan pelbagai aktiviti, namun peluang itu turut diambil kesempatan oleh segelintir pihak bagi melakukan kegiatan jenayah.

Jelas beliau, enam SJR diadakan di Lebuh Raya Damansara – Puchong (LDP) Kelana Jaya; lorong motosikal PJS 2; Jalan SS2/55 Sea Park; Jalan Kilang Kontena, Sungai Way; Persiaran Surian, Damansara; dan Jalan PJU 10/1 susur masuk ke Damansara Damai.

“Melalui SJR berkenaan, kita melaksanakan Op Cantas Khas bertujuan mengesan penjenayah dan individu yang berada dalam senarai penjenayah dikehendaki, Op Lejang untuk mengesan kenderaan curi, serta Op Mabuk bagi mengesan individu memandu bawah pengaruh alkohol.

“Selain itu, kita turut mengeluarkan saman terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan seperti tiada lesen memandu dan cukai jalan serta lesen dan cukai jalan tamat tempoh,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN