Sistem kami sentiasa dikemas kini - SPA - Utusan Malaysia

Sistem kami sentiasa dikemas kini – SPA

ZAINAL RAHIM SEMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menafikan dakwaan pihak Hartal Doktor Kontrak mengenai sistem penyerapan doktor kontrak ke jawatan tetap melalui laman sesawang suruhanjaya itu mundur.

Sebaliknya, Pengerusi SPA, Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, sistem tersebut sentiasa dikemas kini dan berfungsi dengan baik.

Dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia, beliau memberitahu, isu yang didakwa oleh pihak Hartal Doktor Kontrak mengenai sistem tersebut tidak berfungsi dengan baik adalah tidak benar.

Katanya, SPA sentiasa memudahkan urusan permohonan oleh mana-mana pihak termasuk kumpulan doktor kontrak, malah turut menyediakan pusat perkhidmatan yang boleh dihubungi untuk mendapatkan penjelasan atau sebarang maklumat tentang permohonan.

“Pihak kami memandang serius perkara yang dibangkitkan. Untuk makluman, SPA sentiasa peka dengan mutu dan kualiti perkhidmatan kami untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pihak.

“Untuk pengetahuan, sistem tersebut telah dikemas kini dan sentiasa ditambah baik bagi menjamin kelancaran sebarang utusan permohonan,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, SPA juga menyediakan pusat khidmat pelanggan bagi memudahkan mana-mana pemohon untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang permohonan masing-masing.

Justeru katanya, SPA mengalu-alukan kerjasama semua pemohon untuk merujuk sebarang perkara berkaitan permohonan masing-masing kepada pusat khidmat pelanggan atau kepada pihak sekretariat untuk tindakan lanjut.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan kenyataan jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin yang mendakwa, sistem penyerapan doktor kontrak ke jawatan tetap melalui laman sesawang SPA tidak menggambarkan negara menuju ke fasa kemajuan.

Dakwanya, ini susulan terdapat kumpulan doktor kontrak menghadapi isu permohonan ke jawatan tetap ditolak atas alasan dokumen disertakan tidak lengkap, walaupun hakikatnya sudah lengkapkan perkara diminta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya