Sindiket seludup PATI guna Alphard, Vellfire

Sindiket seludup PATI guna Alphard, Vellfire

HAZANI Ghazali (tengah) menyaksikan serah terima tugas Timbalan Pengarah KDNKA oleh Datuk Kasuahdi Ali (kiri) kepada Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim (kanan) di Briged Tengah Pasukan Gerakan Am Cheras, Kuala Lumpur, hari ini. Muhammad sebelum ini menjawat jawatan Komander Briged Tengah PGA dilantik Timbalan Pengarah (KDNKA) Bukit Aman. - FOTO/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Trend menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah untuk membawa masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) mula digunakan sindiket penyeludupan sejak kebelakangan ini.

Modus operandi terbaharu itu, digunakan sindiket untuk membawa PATI ke negara ini melalui jalan tidak diwartakan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, sindiket-sindiket berkenaan tidak lagi menggunakan laluan tikus sebaliknya lebih berani apabila menggunakan laluan gajah dengan menaiki kenderaan mewah.

Beliau juga mengakui berlaku peningkatan tangkapan dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasukan khas lain terhadap PATI sepanjang Ramadan kali ini.

“Minggu lalu berlaku peningkatan yang terbaharu di Kelantan apabila kita menahan 13 warga Myanmar termasuklah transporter yang bertanggungjawab menyeludup masuk PATI berkenaan ke dalam negara.

“Kita mengesan kini sindiket didapati menggunakan kenderaan MPV mewah seperti Toyota Alphard dan Vellfire untuk membawa PATI dari sempadan masuk ke dalam negara secara licik,” katanya dalam sidang akhbar di Briged Tengah PGA, Cheras, di sini hari ini.

Terdahulu Hazani menyaksikan Majlis Perbarisan dan Serah Terima Tugas Timbalan Pengarah KDNKA (PGA), Komander Briged Tengah PGA dan Komander Unit Tindakhas (UTK).

Dalam perkembangan sama, Hazani menambah bahawa, pihaknya sudah mempunya maklumat berhubung modus operandi yang digunakan sindiket penyeludupan PATI di negara ini.

Malah jelas beliau, berdasarkan maklumat MO itu PGA akan melakukan pemantauan serta berkongsi risikan bersama pasukan Cawangan Khas dan lain-lain Kontinjen negeri.

“Mereka ini dikesan mengambil kesempatan meluru masuk ke dalam negara dan sudah tidak lagi wujud PATI masuk melalui laluan tikus, mereka guna laluan gajah naik kereta mewah.

“Justeru ceroboh masuk ke dalam negara melalui perairan negara juga masih berlaku yang kita namakan sebagai laluan dugong (laluan laut), masuk secara perlahan-lahan dan senyap,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata beliau, aktiviti penyeludupan PATI ini umpama permainan tikus dengan kucing.

“Datang kucing tikus lari, kucing balik tikus berkeliaran..mereka menanti masa sesuai dan melakukan apa sahaja. 

“Ada sahaja ruang mereka akan lakukan penyeludupan masuk PATI tetapi kita akan ambil tindakan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN