JOHOR BAHRU: Hanya selepas dua minggu beroperasi, satu rangkaian sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi yang menjual semula bekalan itu di sekitar daerah ini dan Klang, Selangor ditumpaskan pihak berkuasa.
Ia susulan kejayaan Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan tiga lelaki terdiri daripada dua rakyat tempatan dan seorang warga Indonesia di sebuah premis, tengah hari semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang berkata, serbuan itu melibatkan rampasan minyak diesel berjumlah keseluruhan kira-kira RM1.42 juta.
“Ketiga-tiga suspek berusia antara 36 hingga 40 tahun ditahan di sebuah premis beralamat di Jalan Cenderai 21, Taman Kota Puteri, Masai, pada pukul 12 tengah hari.
“Siasatan awal mendapati suspek menjual minyak diesel berkenaan dengan harga RM3.85 per liter kepada pengguna kapal di sekitar Klang,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Dimin, hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap dua mesin flow meter mendapati jumlah minyak diesel yang dipam ke dalam tangki melebihi satu juta liter.
“Antara barangan yang dirampas termasuk 43,000 liter minyak diesel bersubsidi, tiga tangki masing-masing berkapasiti 40,000 liter; 35,000 liter dan 25,000 liter selain 51 tong lutsinar kapasiti 1,000 liter setiap tong dan empat mesin pam elektrik.
“Tangkapan dan rampasan kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN










