Simpan aib isteri, bukan jadikan konten - Utusan Malaysia

Simpan aib isteri, bukan jadikan konten

SYEIKH FADZIL AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Aib seorang isteri harus disimpan dan bukan dijadikan konten untuk dipertonton dalam media sosial oleh lelaki semata-mata untuk meraih tontonan.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, perkara seumpama itu tidak seharusnya berlaku apatah lagi ketika umat Islam menyambut Ramadan ketika ini.

“Trend lelaki (suami) buka aib isteri tidak sepatutnya berlaku dalam rumah tangga. Apa yang mereka harapkan dengan membuka aib isteri. Ramadan mendidik supaya kita beramal ibadat.

“Mereka di luar sana yang terlibat, tolong hentikan dan jaga maruah pasangan kita, jangan mendedahkan kelemahan isteri,” katanya di sini hari ini.

Beliau menambah, perbuatan tidak bermoral seperti itu juga menjadi bibit-bibit keruntuhan rumah tangga apatah lagi apabila pasangan masing-masing menjadi trauma setelah dirinya ditularkan dan menjadi kecaman netizen.

“Impaknya kita sedia maklum perkara seperti ini akan mendedahkan keaiban pasangan kepada masyarakat. Apabila saling mengaibkan kesan itu berlaku kepada institusi rumah tangga itu sendiri.

“Sudah berlaku saling tidak mempercayai antara satu sama lain dan tidak hormat menghormati satu sama lain serta saling salah menyalahkan antara satu sama lain. Ini bercanggah dengan adab rumah tangga dalam Islam,” katanya.

Baru-baru ini tular di media sosial tentang seorang lelaki yang merakam perbuatan isterinya makan secara terbuka di tempat awam ketika umat Islam berpuasa sekali gus mengundang kecaman netizen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya