Siasat komplot cuba jatuhkan badan kehakiman negara - Salahuddin  - Utusan Malaysia

Siasat komplot cuba jatuhkan badan kehakiman negara – Salahuddin 

SALAHUDDIN Ayub (kiri) ketika mengadakan laporan polis di IPD Johor Bahru Utara di Hohor pada 28 April 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan terdapat komplot yang mahu menjatuhkan badan kehakiman, susulan siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, terdapat usaha didalangi pihak tertentu yang mahu menjatuhkan kredibiliti dan menghina sistem kehakiman negara.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, ironi apabila seorang hakim yang berintegriti dan menjalankan tanggungjawab dengan baik telah dikaitkan dengan dakwaan melakukan salah laku sehingga menimbulkan keresahan orang ramai.

“Ini amat bahaya dan sebab itu wakil Amanah membuat laporan polis di semua negeri supaya siasatan  dijalankan,” kata beliau selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di sini, hari ini.

Salahuddin turut menggesa  polis menyiasat individu bertanggungjawab yang telah membangkitkan kebencian terhadap Mohd. Nazlan dan badan kehakiman negara.

“Amanah akan membuat tindakan susulan dengan pihak berkuasa mengenai langkah seterusnya selepas siasatan mereka. Apa yang penting ialah kita perlu membuka mata orang ramai tentang usaha pihak berkenaan yang mahu mengganggu kehakiman negara,” ujarnya.

Pada 20 April lalu, blogger Raja Petra Kamarudin mendakwa Mohd. Nazlan disiasat berhubung terpalit konflik kepentingan dalam kes rayuan SRC International yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Raja Petra, Mohd. Nazlan disiasat berhubung wang RM1 juta yang tidak diisytihar berada dalam akaunnya.

Pada 21 April, Mohd. Nazlan membuat laporan polis berhubung satu artikel mendakwa beliau sedang disiasat kerana wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun bank miliknya.

Mohd. Nazlan adalah hakim kes perbicaraan yang mensabitkan kesalahan terhadap Najib berhubung kes SRC International, pada 28 Julai 2020.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN