TEMERLOH: Siapa sangka warga emas yang mundar-mandir bertongkat mencari juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Lurah Semantan di sini usianya hampir mencecah 100 tahun.
Individu itu, Sheikh Hussin Sheikh Jaafar, 96, masih gagah menyusuri gerai-gerai yang menjual pelbagai juadah masakan dan kuih-muih enak serta menyelerakan untuk juadah berbuka puasa.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Sheikh Hussin mengakui rindu dengan suasana bazar Ramadan Temerloh kerana beliau pernah menjadi peniaga bubur lambuk di situ bermula 1970 hingga 2015.
“Walaupun ada yang mengenali saya, tetapi kebanyakannya peniaga baharu. Namun saya berbangga dengan mereka yang menceburi bidang perniagaan.
“Saya masih kuat berjalan tetapi menggunakan tongkat kerana mengamalkan cara hidup sihat sejak muda,” kata bekas tentera yang bertugas di Batalion Askar Melayu Diraja itu.
Sheikh Hussin berkata, dia dan isteri, Ramlah Imam, 86, yang tinggal di Paya Pulai Jalan Temerloh-Maran bersyukur kerana masih mampu berpuasa.
Menurutnya, sebagai warga emas, juadah berbuka puasa dia dan isteri adalah jenis juadah ‘order lama’ antaranya seperti bubur lambuk, tepung talam, kuih melaka, kuih gulung dan juga opor daging.
Katanya, dia hanya tinggal berdua bersama isteri kerana enam orang anaknya sudah mempunyai keluarga sendiri dan menetap di beberapa negeri.
“Amalan saya antaranya banyak berzikir, solat sunat malam, mengaji al-Quran dan bangun awal pagi serta menjaga pemakanan. Alhamdulillah saya sihat dan masih memandu kereta Perodua Kancil,” katanya.
Beliau dalam pada itu berbangga kerana jasanya sebagai anggota tentera dihargai kerajaan dan pernah dianugerahkan Pingat Jasa Negara oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Bekas tentera itu seterusnya menasihatkan generasi muda khususnya orang Melayu dan Islam supaya tidak bertelingkah sesama sendiri kerana menjadi ‘makanan’ kepada musuh untuk menguasai negara ini.
Menurutnya, generasi lama sepertinya yang tinggal beberapa orang sahaja merasai keperitan di bawah pemerintahan penjajah Inggeris, Jepun dan kerenah pengganas komunis. – UTUSAN