LIPIS: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 37 di laluan Central Spine Road (CSR), Lipis-Merapoh di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Ahmad Nazri Razani, 25, yang beralamat di Kampung Tapang, Jalan Hospital, Kota Bharu, Kelantan dalam perjalanan pulang ke tempat kerjanya di sebuah kilang di Shah Alam, Selangor.
Mangsa yang baharu sahaja menghabiskan cuti di kampung dikatakan pulang ke Shah Alam dengan menunggang motosikal dan keluar rumah selepas bersahur bersama keluarganya.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, mangsa bertolak pulang dari kampungnya pada pukul 7.30 pagi selepas bersahur untuk ke tempat kerjanya di Shah Alam, Selangor.
“Setibanya di tempat kejadian motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggangi Ahmad Nazri dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azli, punca kematian disebabkan mangsa cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Bedah siasat akan dilakukan selepas memperoleh keputusan saringan Covid-19,” katanya.
Azli berkata, ketika kejadian, keadaan jalan kering dan cuaca baik, sistem jalan dua lorong, satu hala dan terdapat konkrit tengah sebagai pembahagi jalan, manakala bahu jalan berturap.
“Kedudukan motosikal mangsa ketika kejadian ini berada di atas bahu jalan menghala ke Lipis,” Katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










