Selangor tawar rumah mampu milik lengkap perabot asas - Utusan Malaysia

Selangor tawar rumah mampu milik lengkap perabot asas

Menteri Besar Selangor, AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Projek Rumah Idaman yang akan dibina di Seksyen U8, Bukit Jelutong di sini ditawarkan pada harga mampu milik, selain dilengkapi beberapa perkakasan asas.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, seunit rumah tersebut yang mempunyai keluasan 1,000 kaki persegi akan dijual pada harga RM250,000.

“Saya rasa tidak ada projek perumahan mampu milik di Malaysia dijual pada harga ini, selain turut dilengkapi perkakas asas seperti tiga almari pakaian, sebuah kabinet dapur dan sebuah televisyen bersaiz 32 inci.

“Selain itu, rumah ini turut dilengkapi dengan tiga buah penyaman udara, sebuah peti ais dan dua buah mesin pancuran air,” katanya ketika menguar-uarkan pembinaan projek Rumah Idaman secara dalam talian, hari ini.

Menurutnya, setiap unit rumah berkenaan akan mempunyai tiga buah bilik tidur, dua buah bilik air, sebuah dapur, sebuah ruang tamu dan sebuah balkoni, dengan setiap pemilik rumah akan disediakan dua buah tempat letak kenderaan.

Amirudin berkata, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi Platform Selangor:Plats bagi mengetahui lebih lanjut berhubung projek Rumah Idaman.

“Untuk projek Rumah Idaman di Bukit Jelutong, ia akan dibina oleh syarikat pemaju, Nadi Cergas Development Sdn. Bhd. (Nadi Cergas Development), yang mempunyai beberapa projek pembangunan di Putrajaya dan Ulu Yam.

“Saya beri jaminan bahawa seunit rumah ini dijual RM250,000, walaupun dilengkapi beberapa perkara asas yang telah saya sebutkan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN