PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia terus digesa segera meluluskan permohonan kemasukan pekerja asing bagi sektor-sektor berkaitan untuk memastikan usaha pemulihan ekonomi dapat diteruskan dengan baik.
Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, banyak sektor yang terjejas apabila tenaga kerja berkurang, apatah lagi kerana pekerja asing juga mewakili sebahagian besar sektor dan industri di Malaysia.
“Dari restoran mamak, industri pembuatan, perladangan, perkilangan dan perkhidmatan, semuanya dikatakan mempunyai kesan disebabkan kekurangan tenaga kerja untuk mengekalkan kemampanan sehingga mengakibatkan kerugian.
“Begitu juga dengan sektor pembinaan yang dikatakan mengalami kenaikan pada kos bahan binaan disamping kekurangan tenaga kerja,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.
Sebelum ini, Majlis Pemulihan Negara (MPN) turut menggesa Kementerian Sumber Manusia dan pihak berkaitan menyegerakan proses kelulusan bagi permohonan-permohonan pekerja asing dalam negara.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuk mengurangkan karenah birokrasi, mempermudahkan dan menambah baik proses kelulusan bagi menampung keperluan pekerja melibatkan industri-industri terdesak seperti pembuatan dan perladangan.
Media sebelum ini melaporkan, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, sektor sawit, pembinaan dan pembuatan berdepan isu kekurangan pekerja yang serius sehingga menjejaskan pendapatan pengusaha dan hasil cukai kerajaan.
Sehubungan itu beliau meminta kerajaan segera menyelesaikan isu kekurangan 72,000 pekerja dalam industri perladangan kerana masalah itu akan menjejaskan daya saing negara dengan negara-negara jiran lain. – UTUSAN










