CYBERJAYA: Malaysia akan cuba merayu kepada kerajaan Arab Saudi agar kuota rasmi haji untuk negara ini yang diberi berjumlah hanya 14,306 jemaah akan dapat ditambah lagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, pihaknya akan berbuat demikian secepat mungkin melalui saluran Kedutaan Malaysia di Riyadh.
“Insya-Allah kita (kerajaan) akan cuba membuat rayuan namun jaminan untuk dapat jumlah tambahan belum tentu lagi,” katanya kepada media pada satu program iftar di sini hari ini.
Berita berkaitan:
Terdahulu, beliau mengumumkan kuota rasmi haji untuk Malaysia pada musim tahun ini ditetapkan kerajaan Arab Saudi dengan jumlah tersebut hanya mewakili 45 peratus daripada kuota rasmi yang diperoleh negara mulai 2020 lalu sebanyak 31,600 jemaah berbanding tahun sebelumnya cuma 30,200 jemaah.
Beliau menjelaskan bahawa peratusan kecil kali ini juga dikenakan kepada semua negara berbanding kiraan sebelum ini ditetapkan nisbah 0.01 peratus daripada populasi penduduk.
Mengulas lanjut, Idris berkata, pertambahan kuota rasmi itu bagaimanapun tertakluk jika ada lagi kekosongan yang mungkin tidak dapat diisi oleh sesetengah negara atas pelbagai faktor.
“Insya-Allah, pihak Tabung Haji akan berusaha memohon ihsan sekiranya ada negara yang tolak kerana bilangan jemaah mereka tidak dapat penuhi kuota ditetapkan Saudi,” katanya.
Beliau memberi bayangan kemungkinan bantuan haji untuk bakal jemaah yang kurang berkemampuan akan meningkat seiring pertambahan kos pengurusan operasi di Tanah Suci kelak.
Bagaimanapun beliau enggan pula mendedahkan berapakah jumlah bantuan tersebut yang dianggap seumpama bentuk subsidi oleh pihak Tabung Haji bagi menampung kos sebenar.
Kos untuk jemaah muassasah yang tidak mengambil pakej penganjur swasta pada musim ini dilaporkan meningkat kepada lebih RM25,000 seorang berbanding sebelumnya RM22,900.
Peningkatan sebanyak 12 peratus itu dengan mengambil kira Cukai Tambah Nilai yang dinaikkan daripada lima peratus kepada 15 peratus serta beberapa caj perkhidmatan tambahan.
“Berapakan jumlah sebenar bantuan ini akan diumumkan oleh pihak pengurusan Tabung Haji esok dan setakat ini saya cuma boleh kata, amaun tersebut agak besar juga,” kata Idris. – UTUSAN











