Sasterawan Osman Dol meninggal duni

Sasterawan Osman Dol meninggal dunia

ALLAHYARHAM OSMAN DOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sasterawan veteran, Osman Dol meninggal dunia di Hospital Melaka di sini, semalam. 

Osman Dol atau nama sebenarnya Ahmad Dugol, 78, yang merupakan anak jati Durian Tunggal, Alor Gajah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1 petang.

Berita itu dikongsikan anak kelima Allahyarham, Azyyati Ahmad, 37.

“Abah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Melaka kira-kira pukul 1 petang semalam selepas beberapa hari mendapatkan rawatan akibat diserang strok. 

“Jenazah arwah abah selamat dikebumikan pada pukul 11 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam di Durian Tunggal,” katanya. 

Azyyati memberitahu, kali terakhir dia berhubung dengan bapanya adalah pada minggu lalu dan arwah sempat berpesan supaya membeli semula buku-buku penulisannya di Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP).

“Antara pesanan terakhir abah adalah meminta saya pergi ke DBP dan membeli buku-bukunya kerana koleksi simpanannya banyak yang sudah hilang serta dimakan anai-anai.  Insya-Allah saya akan tunaikan permintaan abah itu,” ujarnya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lapan orang anak. 

Osman Dol yang lahir pada 23 Disember 1944 aktif menulis sejak 1960 termasuk di Utusan Melayu, majalah Fashion, Utusan Filem dan Sports.

Allahyarham turut menghasilkan hampir 200 cerpen, 18 buah novel, skrip teater, serta berpuluh-puluh buah drama radio, selain rencana-rencana agama, sastera dan beberapa buah sajak.

Allahyarham pernah memenangi pelbagai hadiah sastera termasuk penulisan skrip teater, karya novel bertajuk Lari Dari Neraka dan cerpen Peristiwa Lama. 

Dalam pada itu, Osman Dol pernah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga bersara secara pilihan pada 1998 ketika berusia 53 tahun.

Tugas terakhirnya adalah sebagai Pegawai Pendakwa dan berkhidmat selama 12 tahun di Mahkamah Tampin, Gemas dan Rembau, Negeri Sembilan. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN