Sasar bangun rumah bot teknologi hijau di Tasik Kenyir

Sasar bangun rumah bot teknologi hijau di Tasik Kenyir

RAZALI IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) berhasrat membangunkan rumah bot berteknologi hijau di Tasik Kenyir sebagai tarikan baharu buat pelancong di masa depan.

Pengerusinya, Datuk Razali Idris berkata, inisiatif itu bakal menjadikan tasik buatan manusia terbesar di rantau Asia itu sebagai perintis pengangkutan mesra alam berkenaan di Malaysia.

Katanya, konsep sedemikian sudah banyak digunakan di negara luar termasuk di Finland menerusi tawaran pakej percutian mewah dan premium bagi memberi lebih keselesaan kepada pelancong.

“Kita komited ke arah pembangunan rumah bot berteknologi hijau tanpa asap atau enjin yang menggunakan minyak diesel.

“Di Finland, rumah bot sebegitu bukan sahaja menjadi pilihan individu berkeluarga, malah turut disewa golongan korporat bagi penganjuran mesyuarat, majlis dan lain-lain kerana konsep mesra alam serta mewah yang ditampilkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas program moreh bersama media semalam.

Ketika ini terdapat kira-kira 100 rumah bot yang beroperasi di tasik buatan manusia terbesar di rantau Asia itu. 

Sehubungan itu, Razali mengajak mana-mana pihak berkepakaran untuk mengemukakan idea atau cadangan mengenai rekaan pengangkutan mesra alam berkenaan.

Dalam perkembangan sama, katanya, Ketengah juga akan memperkenalkan rumah bot patuh syariah bermula tahun depan bagi memberi lebih pilihan kepada pelancong.

“Pendekatan ini pertama kali dilaksanakan dan pengunjung hanya terdiri daripada ahli keluarga atau mahram sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN