SAP tidak pernah beri masalah

SAP tidak pernah beri masalah

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Satu pertemuan dan perbincangan antara pihak berkaitan diadakan esok bagi mengetahui masalah atau punca sebenar isu kelewatan menduduki rumah di Taman Ria Padang Nyu, Oran, di sini.

Dalam masa sama, Syarikat Air Perlis (SAP) turut menafikan dihubungi pihak kontraktor atau pemaju projek rumah tersebut yang mendakwa kelewatan berkenaan berpunca daripada masalah kerja-kerja penyambungan paip yang tidak diperiksa oleh SAP.

Ketua Pegawai Eksekutif SAP, Abd Hamid Sahid berkata, pihaknya hanya mengetahui mengenai isu tersebut setelah membaca laporan di akhbar ini, kelmarin.

Abd. Hamid menjelaskan, pihaknya tidak pernah memberi masalah kepada mana-mana pemaju ataupun kontraktor kecuali sesuatu projek tersebut ada masalah.

“Kalau sesuatu paip itu perlu ditukar baharu, maka perlulah ditukarkan. Mungkin dia (kontraktor) dah tukar paip baru tetapi tak maklum kembali kepada kami.
Mungkin dia saja menggunakan nama kami dan memberi alasan kepada pemaju macam lain.

“Bagaimanapun, saya menetapkan satu perbincangan antara pemaju, perunding pemaju dan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana awam negeri, Hamizan Hassan Khamis ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, para pembeli rumah di Taman Ria Padang Nyu, Oran masih tidak menerima kunci rumah mereka walaupun kediaman tersebut sudah siap sejak Jun tahun lalu.

Pemaju HDI Prima Development Sdn. Bhd., Ahmad Ashraf Mohd Zabawi dilaporkan berkata, kelewatan tersebut dikatakan berpunca daripada kegagalan SAP untuk hadir melakukan pemeriksaan kerja-kerja penyambungan paip di perumahan itu.

Kata Ahmad Ashraf, penyerahan kunci 16 unit rumah itu sepatutnya pada Disember tahun lalu namun mengalami kelewatan selepas tidak mendapat kerjasama daripada pihak SAP.

Mengulas lanjut, Abd. Hamid berkata, perbincangan tersebut diharapkan dapat mengetahui masalah sebenar dan menyelesaikannya untuk kebaikan semua pihak. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN