Sambut Syawal dengan paip, tangki air kering-kontang

Sambut Syawal dengan paip, tangki air kering-kontang

NORHISHAM Mohd Kasim menunjukkan tangki kering di rumahnya di Taman Bina Raya 2 kerana terputus bekalan sejak dua minggu lalu. - UTUSAN/ROHANA MOHD.NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Keluarga perantau dari Kedah yang baru tiba di rumah mereka di Taman Bina Raya, Limbat, di sini kecewa terpaksa menyambut Aidilfitri dalam keadaan paip dan tangki air yang kering-kontang.

Difahamkan, bekalan air di taman perumahan tersebut dan kawasan sekitarnya terutama Kampung Binjai terputus sejak dua minggu lalu.

Pesara, Zulhazmi Faisham Hassan, 50, berkata, dia dan keluarganya dari Sungai Petani, Kedah, tiba di rumah mereka tiga hari lalu dan terkejut mendapat semua paip termasuk tangki simpanan air kering kontang.

Sehubungan itu, katanya, mereka terpaksa membeli air untuk mandi-manda dan memasak, selain mencuci pakaian dengan perkhidmatan dobi.

“Rupa-rupanya taman perumahan kami sudah dekat dua minggu terputus bekalan air. Sudahlah terputus bekalan, tiada bekalan alternatif pula disediakan pihak berkuasa untuk kegunaan penduduk terjejas.

“Harapan kami sekeluarga pulang untuk sambut raya bersama keluarga dan jiran-jiran terdekat tidak kesampaian kerana tidak boleh menyediakan juadah untuk tetamu yang hadir,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Disebabkan masalah bekalan air itu, mereka sekeluarga tidak jadi beraya lama di kampung halaman, sebaliknya memutuskan  pulang ke Kedah lebih awal, iaitu pada hari raya ketiga.

Seorang guru, Norhisham Mohd.Kassim, 38, pula berkata, gangguan bekalan air yang berlarutan selama dua minggu di rumahnya di Taman Bina Raya 2 amat perit kerana dia mempunyai anak berusia tiga bulan.

Katanya, kesemua tangki yang ada di rumahnya kini sudah kosong, ekoran kegagalan pihak Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) menghantar bekalan alternatif menggunakan lori.

“Saya sudah beberapa kali menghubungi pihak pengurusan AKSB tetapi setakat ini lori air masih tidak kunjung tiba,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Besar AKSB, Datuk Dr.Azuhan Mohamed ketika dihubungi berkata, pihaknya mengambil serius aduan serta dakwaan penduduk yang terjejas di kawasan tersebut.

“Sepatutnya di mana-mana kawasan yang menghadapi masalah air sebegitu, AKSB akan disediakan tangki statik manakala bagi rumah didiami warga emas atau individu sukar bergerak, kita akan hantar air terus ke rumah mereka.

“AKSB ambil maklum aduan ini dan akan cuba menyelesaikan semua permasalahan dihadapi pengguna terjejas di kawasan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya