IPOH: Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC) Perak merekodkan prestasi kewangan sangat memberangsangkan sepanjang tahun lalu apabila mencatatkan pendapatan RM830 juta, peningkatan lebih 50 peratus berbanding RM410.7 juta diperoleh tahun sebelumnya.
Dari sudut operasi pula, agensi berkaitan kerajaan (GLC) Perak itu merekodkan pendapatan RM511 juta bagi tahun kewangan sama iaitu peningkatan 24.5 peratus berbanding 2020.
Lonjakan pendapatan itu secara dasarnya dipengaruhi oleh faktor peningkatan harga purata Minyak Sawit Mentah (MSM) daripada RM2,692 satu metrik tan kepada RM4,371 satu metrik tan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, rizab dana SADC Perak turut merekodkan peningkatan sebanyak 62.2 peratus iaitu daripada RM473 juta pada 2020 kepada RM767 juta tahun lalu.
“Nilai aset bersih SADC Perak juga dilaporkan melonjak daripada RM1.781 billion pada 2020 kepada RM2.068 billion sepanjang tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 16 peratus,’’ katanya yang juga Pengerusi SADC Perak selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah SADC Perak di sini hari ini.
Menurut Saarani, prestasi kewangan yang baik itu bukan sahaja membolehkan SADC Perak mengembangkan perniagaannya, tetapi memberi ruang kepada agensi itu memainkan peranan signifikan membantu kerajaan negeri menjana semula ekonomi negeri dan rakyat dalam fasa endemik Covid-19.
Jelas beliau, ia termasuk melaksanakan program pengupayaan kapasiti rakyat seperti pembangunan keusahawanan selain melaksanakan projek-projek pertanian berdaya maju sekali gus menambah pulangan pendapatan kepada agensi itu selain disalurkan kepada golongan memerlukan.
“Pada tahun ini, SADC Perak telah memperuntukkan sejumlah RM30.7juta bagi sumbangan kepada rakyat serta alam sekitar,’’ kata beliau.
Saarani memberitahu, bagi mengukuhkan inisiatif membantu rakyat, SADC Perak mewujudkan konsep #kongsirezeki sebagai platform menyalurkan sumbangan atau bantuan kepada golongan asnaf melalui program tanggungjawab sosial iaitu Agihan Ladang Asnaf menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.
Menurutnya, sumbangan berjumlah RM90,000 disalurkan dalam program tersebut dan bakal memberi manfaat kepada 300 penerima yang terdiri dalam kalangan golongan asnaf yang mana setiap daripada mereka akan menerima RM300.
Selain itu, tambah beliau, SADC Perak juga menyalurkan sumbangan berjumlah RM1.41 juta sepanjang Ramadan ini kepada penerima di beberapa daerah yang turut melibatkan sekolah, masjid, maahad tahfiz, penyediaan bubur lambuk serta program tadarus al-Quran.
“Alhamdulillah, SADC Perak terus melakar kejayaan demi kejayaan dengan insiatif #kongsirezeki ini adalah manifestasi komitmen berterusan agensi untuk terus menyantuni rakyat serta golongan yang memerlukan.
“Sebelum ini pun, sudah menjadi tanggungjawab agensi ini menyantuni golongan rakyat yang memerlukan. Memandangkan prestasi yang semakin baik, maka kita kongsi lebih lagi bersama rakyat,” tambah beliau. – UTUSAN