Sabah benar rapatkan saf, buka puasa di masjid, surau - Utusan Malaysia

Sabah benar rapatkan saf, buka puasa di masjid, surau

MASIDI MANJUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sabah mengambil langkah yang sama dengan Persekutuan untuk memberi kebenaran merapatkan saf bagi solat berjemaah di masjid dan surau bermula hari ini.

Umat Islam juga boleh melaksanakan solat sunat tarawih serta jamuan berbuka puasa dan sahur serta mengadakan aktiviti lain seperti tadarus al-Quran dan qiamulail di masjid dan surau sepanjang bulan Ramadan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, susulan kebenaran itu, pelaksanaan solat fardhu lima waktu berjemaah, solat Jumaat, solat tarawih dan solat-solat sunat yang lain di masjid dan surau boleh dilakukan dengan merapatkan sejadah tanpa bersentuhan dengan jemaah lain.

Beliau berkata, semua jemaah perlu lengkap divaksin dan hendaklah membawa sejadah sendiri manakala semua masjid dan surau perlu melaksanakan semua garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti mewajibkan pemakaian pelitup muka, membawa sejadah serta tidak bersalaman.

“Aktiviti masjid dan surau adalah kekal sebagaimana yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Ia termasuk kuliah selepas solat fardhu, dhuha, bengkel, kursus serta program keagamaan dengan mengambil kira penyesuaian waktu ibadat di bulan Ramadan adalah termasuk dalam kebenaran ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Setiap masjid dan surau juga dikehendaki menyediakan kaunter pendaftaran kod QR MySejahtera serta buku rekod kehadiran jemaah bagi yang tidak mempunyai MySejahtera dan pensanitasi tangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN