PETALING JAYA: Penangguhan beberapa kali penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti berpunca daripada sikap ahli politik sendiri yang lebih mengutamakan kepentingan diri daripada rakyat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, ketidaksepakatan berhubung tafsiran lompat parti dalam kalangan parti-parti politik telah menyebabkan konsensus gagal diraih untuk memperinci RUU yang dirancang sejak tahun lalu.
Menurutnya, ahli politik hanya pandai menabur janji manis tetapi tidak melaksanakan tugas dengan baik untuk mencapai kata sepakat dalam proses penggubalan undang-undang lompat parti.
“Hakikatnya mereka mengutamakan kepentingan sendiri lebih daripada kepentingan negara dan rakyat. Itu sebabnya ada pemimpin parti yang menyatakan penggubalan itu mencabar kebebasan berpersatuan dan sebagainya sewaktu proses pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Proses penggubalan RUU Anti Lompat Parti sudah dua kali ditangguhkan sekali gus memperlihatkan kelemahan penggubal undang-undang atau ahli Parlimen dalam menjaga kepentingan dan kestabilan rakyat.
Malah sesi Sidang Khas Dewan Rakyat Isnin lalu juga hanya menyaksikan sesi perbahasan manakala tiada pengundian dilakukan bagi meluluskan pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Abu Talib berkata, proses pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan adalah satu perkara serius dan memerlukan penglibatan kementerian berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara.
Jelasnya, satu kertas kerja merangka undang-undang perlu dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan hendaklah mendapat kelulusan mesyuarat itu terlebih dahulu sebelum dikemukakan kepada Parlimen untuk proses seterusnya.
“Namun sebelum dibawa ke Kabinet, kementerian bertanggungjawab perlu melakukan perbincangan bersama pemegang taruh. Kalau lulus, adalah menjadi tanggungjawab Jabatan Peguam Negara untuk menggubal undang-undang seperti dikehendaki.
“Jabatan Peguam Negara akan beri nasihat dan memastikan undang-undang ini selaras Perlembagaan negara,” katanya. – UTUSAN










