SEREMBAN: Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan menyaksikan perlantikan Ketua Polis Negeri yang baharu iaitu Datuk Ruslan Khalid bagi menggantikan Datuk Mohamad Mat Yusop berkuatkuasa hari ini.
Ruslan yang merupakan bekas Setiausaha Polis Malaysia, Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara (KPN), Bukit Aman menggantikan Mohamad yang dilantik sebagai Ketua Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman.
Majlis serah terima tugas itu disaksikan oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass yang berlangsung di IPK Negeri Sembilan di sini hari ini.
Turut berlangsung, majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Negeri Sembilan antara Datin Norlela Idris dengan Datin Rohayah Harun.
Ruslan ketika ditemui selepas majlis tersebut berharap dapat menjalankan tugas dengan amanah dan baik selain memastikan kelancaran pentadbiran serta meneruskan kepimpinan terdahulu dengan penuh kredibiliti.
Beliau yang dilahirkan di Seremban, telah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tahun 1987 dan pernah memegang beberapa jawatan antaranya Ketua Urus Setia KPN (Pentadbiran) dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Mohamad pula melahirkan rasa terima kasih dan bangga kerana selama bertugas di IPK Negeri Sembilan beliau telah mendapat sokongan yang padu dan jitu daripada seluruh warga PDRM kontinjen tersebut
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zaini berkata, hanya 10 peratus pegawai dan anggota polis di seluruh negara dibenarkan untuk bercuti sempena Hari Raya Aidilfitiri tahun ini selepas negara kini memasuki Fasa Endemik bermula 1 April lau.
“Bagaimanapun bukan semua unit dalam PDRM bercuti. Jawatan atau penugasan kritikal masih menjalankan tugas seperti biasa.
“Sebagai contoh anggota trafik yang mengawal lalu lintas serta polis yang membuat rondaan supaya orang ramai dapat beraya dengan selesa dan aman di samping buat rondaan untuk mencegah jenayah,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis berkenaan.
Zaini berkata, terdapat kira-kira 123,000 anggota termasuk pegawai polis di seluruh Malaysia dan hanya 10 peratus dibenarkan bercuti kerana selebihnya perlu menjaga keselamatan dan memastikan kelancaran pada musim cuti perayaan nanti. – UTUSAN