RON95 'dicuri' kenderaan negara jiran - Utusan Malaysia

RON95 ‘dicuri’ kenderaan negara jiran

Kajjan data menggunakan analisis data raya membolehkan pengkelasan terperinci kategori penerima subsidi dilakukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Isu pembelian minyak petrol bersubsidi RON95 oleh pemandu kenderaan warga Singapura disebabkan kelemahan penguatkuasaan agensi di negara ini.

Ahli Dewan Muda Johor, Raden Mohammad Azwan Naharudin berkata, itu antara faktor yang menyebabkan segelintir rakyat negara jiran itu dengan selamba memasuki negara ini dan mengisi minyak kenderaan masing-masing menggunakan RON95.

Menurut beliau, hanya penguatkuasaan yang tegas dan berterusan akan mendidik golongan berkenaan sedar hak warganegara ini.

“Perkara ini berlaku disebabkan sikap individu berkenaan dan juga penguat kuasa yang lemah. Sudah dua tahun sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura ditutup, jadi mungkin terdapat kelonggaran dalam aspek berkenaan apabila sempadan dibuka semula 1 April lalu,” katanya di sini semalam.

Kata beliau, pemantauan berkala anggota penguat kuasa sahaja tidak berkesan sebaliknya ia perlu disusuli tindakan tegas terhadap semua pihak terlibat.

“Penguat kuasa tidak seharusnya bertolak ansur dalam soal ini sebaliknya ambil tindakan tegas terhadap pengusaha stesen minyak, undang-undang sudah ada, kenapa tidak kuat kuasa,” soalnya.

 

Pengusaha minyak

Tambahnya, pihaknya juga berharap pengusaha stesen minyak lebih bertanggungjawab dalam memastikan undang-undang itu dipatuhi pelanggan luar negara agar tidak membeli RON95.

Ketika ini, harga RON95 di Singapura antara S$2.99 hingga S$3.00 atau kira-kira RM9.32 seliter

Harga tersebut hampir empat kali ganda daripada harga di negara ini iaitu RM2.05 seliter.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, penguatkuasaan membeli minyak subsidi RON95 hanya boleh diambil ke atas pengusaha stesen minyak dan bukan warga asing terbabit.

Menurut beliau, adalah penting bagi pengusaha mengambil langkah proaktif untuk mengekang kegiatan itu kerana undang-undang berkaitan telah dimaklumkan dengan jelas kepada mereka ketika mahu mendapatkan lesen perniagaan.

“Tindakan hanya kepada pengusaha stesen minyak dan bukannya terhadap pemilik kenderaan, jadi kita minta pengusaha lesen mematuhi peraturan yang telah dikeluarkan dengan jelas,” kata beliau selepas melakukan pemantauan di sebuah stesen minyak di Jalan Skudai, di sini semalam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×