RM6 juta bantu golongan kurang mampu di Wilayah Persekutuan

RM6 juta bantu golongan kurang mampu di Wilayah Persekutuan

SHAHIDAN Kassim beramah mesra selepas menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Nur Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya 2022 di Kompleks Perbadanan Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui Yayasan Wilayah Persekutuan memperuntukkan kira-kira RM6 juta untuk dibelanjakan sehingga akhir tahun ini bagi membantu mereka yang memerlukan termasuk keluarga miskin tegar di Wilayah Persekutuan. 

Menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pada masa ini seramai 2,856 ketua keluarga isi rumah di Wilayah Persekutuan yang sebelum ini berstatus miskin tegar dibantu serta ‘diputihkan’ daripada kategori tersebut. 

Katanya, jumlah yang direkodkan itu adalah daripada 4,000 miskin tegar di Wilayah Persekutuan dengan 600 daripadanya tidak menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak. 

“Berdasarkan angka daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bantuan yang diberikan lebih RM30,000. Sekarang ini kita nak minta angka itu diperbetul mengikut Unit Penyelarasan Pelaksana (ICU) Jabatan Perdana Menteri supaya kita dapat angka sebenarnya. 

“Ini untuk kita beri bantuan dan sumbangan agar mereka melepasi pendapatan RM1,110 dengan caranya adalah melalui Yayasan Wilayah Persekutuan. Untuk orang Islam boleh dapat bantuan daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) manakala orang bukan Islam pula kita beri melalui yayasan ini,” katanya ketika ditemui pada Program Nur Ramadan Putrajaya, di sini malam tadi. 

Sehubungan itu, Shahidan berkata, semua yang terlibat atau termasuk kategori miskin tegar di Wilayah Persekutuan akan dibantu sekali gus bagi mencapai sifar miskin tegar di wilayah tersebut. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain pemberian bantuan, pihaknyamemastikan mereka yang dibantu ini berusaha untuk mendapatkan sumber pendapatan antaranya bekerja dari rumah. 

“Selain itu, kita akan umumkan dalam masa terdekat berhubung program ekonomi yang dibuat bersama sebuah universiti. Kerjasama ini membolehkan mereka memperoleh sumber pendapatan. 

“Seterusnya, terdapat kiosk untuk 1,000 anak muda berniaga dengan keutamaan diberi kepada kalangan B40. Saya menggalakkan anak muda yang hendak berniaga, semua akan diberi perhatian,” ujarnya. 

Berhubung Program Nur Ramadan Putrajaya, seramai 200 penerima bantuan di Putrajaya terdiri daripada anak-anak yatim, warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya dan mereka yang kurang berkemampuan menerima sumbangan wang tunai RM200 setiap seorang melalui peruntukan KWP serta Baitulmal Maiwp. 

Asnaf juga menerima sumbangan barangan keperluan seperti periuk nasi, beras dan kurma dengan peruntukan sebanyak RM23,000 selain pihak KWP menyumbang wang tunai berjumlah RM519,500 kepada semua 824 masjid, surau jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan bagi mengimarahkan suasana Ramadan pada tahun ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN