Rina nafi abai Bella

Rina nafi abai Bella

RINA Mohd. Harun menyerahkan sumbangan pada Majlis Penyerahan Khemah dan bantuan Aktiviti Syawal Dirai Bersama KRT Parlimen Titiwangsa di Dewan Komuniti Desa Pandan, Kuala Lumpur, hari ini. - FOTO/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rina Mohd. Harun menafikan beliau dan kementeriannya mengabaikan mangsa seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, banyak langkah dan tindakan sudah diambil sebelum ini sejak adik Bella ditemui Julai lepas, namun kesejahteraan dan hukuman yang setimpal kepada pelaku ketika ini itu lebih penting. 

Sehubungan itu, katanya, ada perkara-perkara sebelum ini yang tidak dimaklumkan, namun ia tidak bermaksud pihaknya mengabaikan terus mangsa remaja perempuan tersebut. 

“Saya melihat bahawa ada dakwaan saya dan pihak kementerian ini tak melakukan apa-apa untuk membantu adik Bella, jadi saya nak buat penafianlah. 

“Bermula Julai 2021, apabila pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sendiri mendapat laporan, kita bersama orang awam turut sama membantu membawa adik Bella mendapatkan rawatan di hospital dan seterusnya ditempatkan di tempat yang selamat. 

“Kita telah pun melakukan pelbagai intervensi sebenarnya iaitu menyelamatkan kanak-kanak ini, melucutkan serta-merta hak penjagaan kepada orang yang dituduh itu dan akhirnya melaksanakan penutupan, penyitaan rumah jagaan tersebut serta mengeluarkan kompuan,” katanya kepada pemberita hari ini. 

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Khemah dan bantuan Aktiviti Syawal Dirai Bersama KRT Parlimen Titiwangsa, di Dewan Komuniti Desa Pandan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rina berkata, intervensi yang dijalankan kementeriannya itu bagi memastikan adik Bella berada dalam keadaan yang sejahtera. 

Selain itu, katanya, pihaknya juga telah memperketatkan undang-undang yang berkaitan dengan membuat beberapa pindaan untuk memastikan perkara yang berlaku kepada adik Bella itu tidak berulang lagi. 

“Kita juga berikan bimbingan emosi kepada adik Bella kerana dia agak trauma dulu. Jadi kita perlu adik Bella ini supaya lebih sihat dari segi keadaan fizikalnya, bukan saja dari segi keadaan fizikal tetapi juga emosi. Ini yang telah kita laksanakan.

“Saya mohon maaf selama ini kita tak update sebab kita nak jaga keadaan kesejahteraan adik Bella itu sendiri. Sekarang alhamdulillah dia sudah mula gembira, pandai bergurau senda dan menjalankan aktiviti. 

“Emosi dan keadaan dia sudah semakin baik. Luka-luka juga semakin pulih dan berat badan dia pun sudah semakin meningkat  kerana dia juga mendapat pemakanan yang sihat dan sudah menjalankan aktiviti,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN