PETALING JAYA: Umat Islam perlu menjadikan bulan Ramadan sebagai satu fasa memotivasikan diri untuk menjadi ejen penyatuan ummah yang membawa kepada keamanan dan kesamarataan untuk semua.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, umat Islam harus peka dengan krisis yang berlaku melibatkan golongan Islam di negara lain termasuk peperangan dan persengketaan.
“Dalam zaman penuh cabaran yang sarat dengan pertembungan antara pelbagai pihak, Ramadan harus dijadikan saat refleksi mendalam bagaimana setiap Muslim harus berperanan sebagai anggota sosial untuk membawa kebenaran dan keadilan serta keamanan dunia.
“Jutaan umat Islam kini berdepan krisis kemiskinan, menjadi pelarian, kebuluran kemusnahan kediaman, pencerobohan wilayah umat Islam sangat memprihatinkan. Sejumlah negara Islam kini mengalami krisis yang parah yang mengakibatkan umat Islam dalam keadaan kritikal.
“Kami mengingatkan umat Islam di negara ini agar menghayati Ramadan Al-Mubarak sebagai bulan yang menuntut rasa keinsafan yang tinggi terhadap nilai persaudaraan dan pengorbanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Mohd. Azmi, menjadi satu kepincangan tatkala jutaan umat dalam keadaan kelaparan, masyarakat Islam di Malaysia mengamalkan pembaziran yang ketara ketika beriftar.
“Amat malang makanan yang dibazirkan ketika bulan Ramadan meningkat setiap tahun di negara ini sehingga boleh menyara makan jutaan insan yang kebuluran di negara umat Islam.
“Harus disedari umat Islam sedang bergelut dengan pelbagai krisis sehingga menjadi mangsa. Ketika rasa bersyukur dizahirkan kerana dapat meneruskan ibadah puasa Ramadan penuh keberkatan, rasa prihatin perlu dipertingkat terhadap nasib umat Islam yang menghadapi pelbagai krisis di negara-negara Islam yang terkesan akibat penindasan, peperangan dan krisis dalaman antara umat.
“Kami mengingatkan umat Islam di negara ini agar menghayati Ramadan Al-Mubarak sebagai bulan yang menuntut rasa keinsafan yang tinggi terhadap nilai persaudaraan dan pengorbanan,” katanya.
Menurutnya, ketinggian nilai Ramadan terletak kepada ketaqwaan yang menekankan soal membantu golongan yang sangat memerlukan bantuan, terutama yang ditindas dan yang dizalimi. – UTUSAN