Ramai tidak imbas MySejahtera, pakai pelitup muka

Ramai tidak imbas MySejahtera, pakai pelitup muka

RAHMAT Ariffin membuat pemeriksaan pematuhan SOP dekat sebuah gerai ketika operasi pemantauan dilakukan di Bandar Parklands, Klang, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tidak mengimbas aplikasi MySejahtera dan gagal memakai pelitup muka antara kesalahan utama yang dikesan di sekitar daerah ini sejak fasa endemik.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Rahmat Ariffin berkata, perkara itu dikenal pasti menerusi hasil pemantauan pihaknya termasuk di sekitar lokasi tumpuan umum.

“Ramai orang awam didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama tidak mengimbas aplikasi My Sejahtera dan tiada memakai pelitup muka.

“Biarpun negara sudah memasuki fasa endemik, ia masih menjadi satu kesalahan dan melanggar peraturan ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai rondaan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sekitar Bandar Parklands di sini, petang semalam.

Jelas Rahmat, tindakan tegas akan diambil kepada semua pihak yang gagal mematuhi SOP ditetapkan.

“Kita akan menjalankan pemantauan secara berterusan termasuk di premis perniagaan dan bazar Ramadan.

“Justeru, orang ramai diingatkan supaya terus mematuhi peraturan bagi mengekang penularan Covid-19,” tegasnya..

Dalam pada itu, beliau memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menjual mercun dan bunga api secara haram atau tanpa permit.

“Setakat ini, tiada sebarang kes tangkapan atau rampasan direkodkan di Klang Selatan ketika Ramadan.

“Namun, tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati menjalankan kegiatan berkenaan,” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN