GEORGETOWN: Bulan Ramadan adalah masa paling sesuai untuk kumpulan perokok tegar menghentikan tabiat itu sekali gus mengelakkan risiko peningkatan serangan strok, tekanan darah tinggi dan pendarahan serebrum.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, Ramadan adalah bulan istimewa dan terbaik buat seluruh umat Islam setelah menjalani tempoh berpuasa selama 13 hingga 14 jam sehari.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu usaha untuk menghentikan tabiat merokok mampu dilaksanakan selain dapat menjimatkan kos perbelanjaan pembeliannya kira-kira RM500 sebulan.
Jelas beliau, pada bulan puasa ada beberapa faktor seseorang berjaya berhenti merokok dan salah satu puncanya adalah tidak makan dan minum pada siang hari yang sebenarnya pencetus kepada tabiat merokok.
“Menurut kajian, seseorang itu sukar berhenti merokok disebabkan ketagihan terhadap nikotin kerana kebergantungannya adalah lebih tinggi berbanding seorang penagih terhadap heroin atau kokain.
“Merokok berulang kali selepas berbuka puasa atau menggunakan produk tembakau lain menyebabkan kenaikan kadar nikotin dan karbon monoksida secara tiba-tiba dalam darah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, lonjakan nikotin secara tiba-tiba juga mampu meningkatkan risiko serangan jantung selain tekanan darah tinggi, pendarahan serebrum dan strok.
Sehubungan itu tambah beliau, pengguna yang berazam untuk berhenti merokok semestinya perlu mempunyai kehendak baharu dalam usaha menghentikan terus tabiat tersebut. – UTUSAN










