PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr. Puad Zarkashi akan membeli lukisan Parlimen dipenuhi katak dan monyet sekiranya dilelong Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada satu hari nanti.
Bagaimanapun beliau tidak akan menjualnya selepas menjadi kepunyaan sebaliknya akan menghadiahkan kepada Muzium Negara untuk pameran orang awam.

“Saya sedia membeli lukisan Parlimen beruk dan katak jika Sultan Selangor mahu melelongnya suatu hari nanti.
“Jika lukisan itu milik saya, ia tidak akan dijual lagi. Saya akan hadiahkan kepada Muzium Negara untuk dipamerkan kepada orang awam,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Lukisan menggambarkan suasana dan tingkah laku wakil rakyat negara ini itu menarik perhatian warganet selepas Istana Selangor, Selasa lalu memuat naik beberapa keping gambar karya yang dibeli Baginda.
Sultan Selangor dilaporkan berhasrat melelong lukisan itu suatu hari nanti dan hasil lelongan akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan. – UTUSAN