Promosi seimbang di seberang dan pulau tarik pelancong ke Pulau Pinang

Promosi seimbang di seberang dan pulau tarik pelancong ke Pulau Pinang

YEOH SOON HIN (kanan) bersama Ooi Chok Yan ketika majlis pelancaran kempen 'The Opposite Site of the Island - Seberang Perai' di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan negeri akan memastikan promosi pelancongan yang dibuat di kawasan Seberang Perai di sini seimbang dengan apa yang telah dilaksanakan di bahagian pulau negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, usaha mempromosikan produk-produk pelancongan di situ akan terus digiatkan dari semasa ke semasa menerusi pelbagai kempen.

Katanya, ini termasuk pelancaran video promosi pelancongan di bawah program Experience Penang yang diperkenalkan sejak Disember lalu.

“Semua sedia maklum kebanyakan pelancong luar yang datang ke Pulau Pinang sebelum ini akan bertumpu di bahagian pulau berbanding seberang (tanah besar).

“Jadi, kita akan cuba seimbangkan promosi dengan memperkenalkan lokasi-lokasi pelancongan menarik di sini (Seberang Perai) yang sebelum ini kurang popular dalam kalangan pelancong luar,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas pelancaran kempen The Opposite Site of the Island – Seberang Perai yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism, Ooi Chok Yan di sini semalam.

Kempen tersebut dirangka bertujuan membawa masuk lebih ramai pelancong domestik dan luar negara ke Pulau Pinang khususnya ke Seberang Perai untuk merasai sendiri pengalaman bercuti di sini.

Ketika ini, kawasan Seberang Perai memiliki beberapa tarikan pelancongan menarik sama ada dari segi rekreasi atau beli-belah, keindahan alam semula jadi, keunikan tempat-tempat bersejarah dan sebagainya.

Antaranya termasuk gedung beli-belah terkemuka, Ikea; Design Village, Kampung Agong (Penaga), Pulau Aman, taman-taman rekreasi serta beberapa buah masjid, gereja dan kuil lama yang unik termasuk binaan- binaan lain yang menjadi ikonik.

Dalam pada itu, Soon Hin percaya kepelbagaian produk pelancongan yang ditawarkan di Pulau Pinang ketika ini mampu menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke negeri itu.

“Pandemik (Covid-19) sebenarnya telah mengajar kita yang mana industri pelancongan perlu lebih dinamik dan kompetetif untuk menyesuaikan diri dengan keperluan dan kehendak semasa pelancong,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN