Prestasi perbelanjaan peruntukan pembangunan 18.33 peratus

Prestasi perbelanjaan peruntukan pembangunan 18.33 peratus – Ismail Sabri

ISMAIL Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK-12. - FOTO/PEJABAT PERDANA MENTERI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Prestasi Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan (DE) Asas Tahun 2022 adalah pada kadar 18.33 peratus setakat 15 April lalu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, prestasi itu dimaklumkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) kali pertama bagi tahun ini yang turut dihadiri empat Menteri Kanan serta ketua jabatan dan agensi terlibat secara dalam talian.

Menurut beliau, Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara (JP4N) telah diwujudkan bagi menangani cabaran-cabaran utama dalam pengagihan DE.

“Mesyuarat bersetuju supaya Ketua Setiausaha semua kementerian melaporkan status perbelanjaan DE kepada menteri masing-masing pada setiap bulan supaya tindakan segera dapat diambil bagi mempercepatkan pelaksanaan projek.

“Selaras dengan RMK-12, kerajaan menetapkan sasaran untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2025. Mesyuarat hari ini meluluskan rangka kerja untuk memantau prestasi beberapa petunjuk untuk mencapai sasaran tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ismail Sabri berkata, petunjuk berkenaan merangkumi tiga komponen iaitu kemakmuran, inklusiviti dan kemampanan antaranya pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan isi rumah; peningkatan daya saing dan produktiviti serta peningkatan sumbangan industri berimpak tinggi kepada ekonomi.

Katanya, ini termasuk pembasmian kemiskinan tegar; pembangunan negeri yang seimbang; dan kemampanan dan daya tahan alam sekitar.

Beliau menjelaskan, strategi membasmi miskin tegar menjelang tahun 2025 turut dibincangkan  yang mana Fasa 1 Program Pembasmian Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang bermula pada bulan ini melibatkan 80 lokaliti melibatkan kira-kira 5,000 ketua isi rumah (KIR). 

Secara keseluruhannya, kata beliau, sebanyak 1,000 lokaliti akan dipilih untuk pelaksanaan BMTKM sehingga penghujung tahun 2025.

“Pelaksanaan BMTKM menggunakan pendekatan baharu yang lebih holistik, bersepadu dan berfokus dengan memberi tumpuan kepada aktiviti penjanaan pendapatan dalam kalangan KIR miskin tegar secara mampan,” katanya. 

Pada masa sama, kata Perdana Menteri, kaedah pembiayaan projek-projek di bawah Perancangan Projek Tebatan Banjir sedang diperincikan Kementerian Kewangan.

Katanya, perancangan tersebut berjumlah RM15 bilion bagi tempoh lapan tahun (2023 hingga 2030) itu merangkumi projek jangka masa pendek atau sederhana dan panjang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN