SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menyerbu sebuah premis menjual aksesori kereta yang dikesan membekalkan barangan tiruan dianggarkan bernilai RM32,410 di Taman Desa Cempaka, Nilai di sini semalam.
Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, serbuan dengan kekuatan enam anggota itu dilakukan pada pukul 2 petang hasil risikan pihaknya dan kerjasama dengan wakil cap dagang.
“Premis berkenaan dikesan membekalkan aksesori kenderaan iaitu ‘speaker‘ (pembesar suara) dan ‘subwoofer‘ (sistem bunyi) yang disyaki menyalahgunakan satu cap dagang berdaftar yang terkenal.
“Pemeriksaan lanjut di premis berkenaan menemukan sebanyak 334 unit barangan tiruan tersebut dengan anggaran bernilai RM32,410,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Ain Arjuna, kesemua barangan tersebut disita mengikut Seksyen 102 (1) Akta Cap Dagangan 2019 bagi tujuan siasatan lanjut.
Beliau berkata, KPDNHEP Negeri Sembilan akan terus mengambil tindakan tegas ke atas peniaga yang didapati menjual barangan tiruan dari semasa ke semasa.
“Pengguna juga dinasihatkan untuk lebih berhati-hati ketika membuat pembelian bagi mengelakkan tertipu ketika membeli barangan tiruan menggunakan jenama yang terkenal,” katanya. – UTUSAN










