SEPANG: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan mencungkil lebih ramai anak muda yang terjebak sebagai ‘mat rempit’ untuk diketengahkan sebagai pelumba litar profesional.
Ahli Majlis MPSepang , Fahrulrazi Zailan berkata, program julung kali itu akan melibatkan kerjasama Team Motowazi di bawah legenda pelumba Cub Prix, Wazi Abdul Hamid.
Menurut beliau, program itu menjadi motivasi kepada belia untuk menceburi bidang sukan pemotoran yang boleh menjana pendapatan apabila diketengahkan sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Program ini melibatkan lebih 10 buah kampung dalam kawasan sekitar Dengkil dan Banting bagi didik anak muda yang suka merempit kepada kerjaya profesional sebagai pelumba sah.
“Usaha itu selaras dengan imej daerah ini yang terkenal di dunia menerusi Litar Antarabangsa Sepang sejak dibuka pada 1999.
“Sebagai penduduk di sini, rugilah kita tidak memanfaatkan kelebihan fasiliti bertaraf dunia itu bagi cungkil bakat baharu melibatkan anak muda yang berpotensi,” katanya selepas merasmikan Program Pencarian Bakat disertai 200 penunggang motosikal di Dataran Sadiman, Bukit Changgang dekat sini.
Selain, mencari pelapis pelumba tempatan, mereka juga mendedahkan kaedah pemanduan yang betul dan berhemah selain sesi penukaran minyak hitam secara percuma.
Mengulas lanjut, Fahrulrazi berkata, program kali ini adalah kesinambungan aktiviti peringkat awal yang ditunda kerana pandemik Covid-19 bagi mencungkil bakat pelumba muda.
Dalam pada itu, Wazi berkata, mat rempit sebenarnya adaah kumpulan beliau yang tidak dibimbing mengikut saluran betul.
Bahkan ujarnya, jika mereka diberikan peluang sebaiknya dalam arena pemotoran, ia secara tidak langsung menghindarkan kelompok itu daripada gejala buang masa dan tidak berfaedah.
Pada masa sama, beliau berhasrat agar program sedemikian diperluaskan meliputi semua daerah di Selangor sebelum dikembangkan ke seluruh negara secara sistematik.
“Mungkin kita akan buat siri jelajah selepas Hari Raya Aidilfitri bulan depan sebab banyak anak muda yang berpotensi tidak tahu bakat mereka boleh melonjak ke tahap lebih tinggi,” jelasnya.- UTUSAN










