Polisi kongsi 'kepala lori' jimat kos operasi syarikat - Utusan Malaysia

Polisi kongsi ‘kepala lori’ jimat kos operasi syarikat

WEE Ka Siong dalam sidang akhbar pemain industri logistik di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemain industri logistik kini mampu mengurangkan kos operasi syarikat apabila kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju memperluas polisi perkongsian prime mover (kepala lori) bagi kegunaan kumpulan anak syarikat.

Keputusan itu  sekali gus membolehkan pemain industri logistik kini mampu mengurangkan kos operasi syarikat.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pelaksanaan polisi baharu itu berkuat kuasa 5 Mei ini untuk membenarkan perkongsian kepala lori dan semitreler diperluas kepada jenis luton atau kotak dan kargo am.

Menurut beliau, bermula 1 September tahun lalu, pemain industri dibenarkan berkongsi kepala lori dan semitreler yang membawa kontena milik kumpulan syarikat dan menerusi fasa kedua, polisi itu akan diperluas.

“Fasa pertama pelaksanaan polisi ini bertujuan membantu syarikat-syarikat logistik mengurangkan kos, meningkatkan kecekapan industri logistik dan mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan mesyuarat bersama pemain industri logistik di kementeriannya, hari ini.

Ka Siong berkata, sebelum ini, kepala lori perlu didaftarkan kepada semitreler dengan nisbah 1:7 yang dilihat mengehadkan kemampuan sesebuah syarikat logistik beroperasi secara optimum.

Namun, katanya, berdasarkan polisi baharu itu, setiap kepala lori boleh membawa semitreler jenis luton atau kotak dan kargo am dimiliki syarikat yang sama.

“Dulu terdapat banyak sekatan dan walaupun kepala lori milik syarikat logistik yang sama, ia tidak dibenarkan untuk membawa semitreler yang tidak didaftarkan kepadanya.

“Pelaksanaan Fasa Kedua ini bagaimanapun adalah tertakluk kepada syarat-syarat pelaksanaan Fasa 1 dan melibatkan anak-anak syarikat di peringkat pertama sahaja dengan pegangan ekuiti syarikat induk sekurang-kurangnya 51 peratus.

“Berat Dalam Muatan (BDM) kepala lori dan treler yang dibenarkan untuk pertukaran adalah tertakluk kepada BDM semi-treler atau Berat Gabungan Keseluruhan (BGK) penggerak utama yang terendah di antara keduanya,” ujar beliau.

Tambah beliau, penguatkuasaan ke atas kesalahan di bawah akta-akta yang terlibat dengan perubahan polisi itu juga adalah dikenakan ke atas kepala lori sahaja

Katanya, pihak syarikat juga perlu mendapatkan Kelulusan Teknikal Kenderaan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan sebelum boleh memajukan permohonan kepada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Selain itu jelas beliau, kebenaran itu juga hanya boleh digunakan untuk kenderaan yang dikategorikan di bawah jenis kenderaan yang sama contohnya kepala lori yang telah didaftarkan untuk menarik semi-treler jenis kotak tidak boleh menarik semi-treler jenis kargo am,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN