Polis tunggu mangsa pulih sebelum siasat kes penyelam hilang - Utusan Malaysia

Polis tunggu mangsa pulih sebelum siasat kes penyelam hilang

EMPAT penyelam warga Eropah yang dilaporkan hilang sebelum ini akibat dihanyutkan arus kuat ketika melakukan aktiviti selam skuba.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis akan memulakan siasatan melibatkan insiden empat penyelam yang hilang di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, selepas ketiga-tiga mangsa yang selamat pulih sepenuhnya daripada menerima rawatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hal ini kerana ketiga-tiga mangsa masih menerima rawatan dan berada dalam pemantauan pasukan kesihatan.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan itu akan meliputi pelbagai aspek termasuklah kelayakan jurulatih selam, Kristine Grodem, 35, yang berasal dari Norway.

“Kita akan siasat daripada pelbagai segi termasuklah sama ada berlakunya kecuaian dalam pengendalian latihan serta adakah sesi latihan itu mematuhi peraturan ditetapkan termasuk prosedur operasi standard yang ada.

“Buat masa ini mangsa-mangsa yang selamat masih trauma dan mereka memerlukan masa untuk pulih, sebaik sahaja keadaan mereka stabil kita akan rakam percakapan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Pegawai dan Anggota Polis Dalam Op Tambak di sini, malam tadi. Turut hadir, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid.

Rabu lalu, empat penyelam warga Eropah dilaporkan hilang akibat dihanyutkan arus kuat ketika melakukan aktiviti selam skuba di pulau berkenaan.

Selain Kristine, tiga lagi mangsa ialah Adrian Peter Chesters, 46, dari Britain dan wanita warga Perancis, Alexia Alexandra Molina, 18 serta Nathan Renze Chesters, 14, yang juga anak kepada Adrian.

Hanya tiga daripada mereka ditemukan selamat pada Khamis dan awal pagi semalam, manakala Nathan disahkan maut oleh bapanya akibat terlalu lemah dan tidak mampu bertahan.

Remaja itu juga kini dipercayai hanyut ke perairan Indonesia susulan penemuan bapanya dan Alexia berhampiran Pulau Bintan oleh nelayan negara itu yang sedang menangkap ikan kira-kira pukul 1 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN