Polis tidak tutup siasatan helikopter ambil pesanan nasi ganja 

Polis tidak tutup siasatan helikopter ambil pesanan nasi ganja 

MIOR Faridalathrash Wahid (empat dari kiri) beramah mesra bersama tetamu pada perjumpaan bersama ketua agama Kristian, Hindu dan Buddha di PLPGU, Ipoh, Perak, hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis tidak menutup kes kejadian sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh di sini untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja pada Julai tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan kes itu telah selesai dan kertas siasatan juga telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan dan tindakan selanjutnya.

“Bagaimanapun, kertas siasatan itu dikembalikan semula kerana Pejabat Peguam Negara mahu pihak polis melengkapkan lagi beberapa perkara.

“Kertas siasatan berkenaan juga telah lengkap dan diserahkan semula kepada mereka. Buat masa ini, kita sedang tunggu arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Perjumpaan Ketua Polis Perak bersama ketua agama Kristian, Hindu dan Buddha di Auditorium Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), di sini hari ini. 

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Mohd. Sidek Hassan yang mengingatkan pihak berkuasa supaya segera menyelesaikan ‘kes mudah’ atau berdepan hakisan kredibiliti.

Mohd. Sidek memberi contoh kes sebuah helikopter mendarat di Ipoh untuk mengambil nasi ganja pada 23 Julai 2021 yang didakwa beliau sebagai tiada penghujung.

Mengulas lanjut Mior Farid berkata, polis sentiasa memastikan semua siasatan kes dijalankan secepat mungkin sebelum merujuk kepada agensi berkaitan untuk mendapatkan arahan.

“Apa sahaja siasatan yang dijalankan, kita ada bidang kuasa masing-masing. Dalam kes ini, kita telah selesaikan siasatan, jadi kita tunggu arahan daripada Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Menerusi laporan akhbar 23 Julai tahun lalu, helikopter dikendalikan syarikat Systematic Aviation Services Sdn. Bhd. (SAS) itu mendarat di padang Ipoh pada pukul 10 pagi bagi mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja.

Tempahan itu difahamkan dibuat oleh pelanggan dari Kuala Lumpur di sebuah restoran nasi kandar terkemuka di bandar raya ini yang lebih dikenali sebagai nasi ganja.

Mior Farid sebelum ini mengesahkan bahawa helikopter tersebut mempunyai kebenaran mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh.

Bagaimanapun, surat kebenaran berkenaan adalah bagi keperluan penyelenggaraan pesawat (aircraft maintenance) untuk penerbangan dari Subang ke Ipoh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya