KUANTAN: Polis Pahang berjaya merampas dadah jenis heroin dan erimin dianggarkan keseluruhannya bernilai RM18,151 sekali gus menumpaskan sindiket pengedaran daadah dikenali Geng Kitty di Temerloh, Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintenden Azmi Awang Lah berkata, sindiket terbabit tumpas hasil penangkapan dua lelaki dan seorang perempuan berusia 23 hingga 39 tahun.
Menurutnya, kira-kira pukul 10 malam, polis menahan kesemua suspek ketika mereka berada dalam sebuah kereta di Batu 13, Paya Pulai, Temerloh.
“Hasil pemeriksaan ditempat duduk belakang kereta, polis merampas tiga bungkus plastik berwarna merah dengan setiap satunya mengandungi sebungkus plasti lutsinar berisi bahan disyaki heroin seberat 1552.6 gram.
“Polis turut menemukan enam keping keranjang aluminium dengan setiap satunya mengandungi 10 biji pil disyaki erimin seberat 16.4 gram,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Azmi dalam pada itu berkata, siasatan awal mendapati suspek kedua yang ditahan dalam serbuan merupakan pengedar yang dikehendaki.
“Tangkapan pertama membabitkan pemandu mereka dan tangkapan ketiga bertindak sebagai penyimpan bekalan dadah yang diterima. Suspek kedua didapati mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan dadah manakala suspek ketiga enam rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati masing-masing positif dadah jenis Metamfetamin,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, sindiket terbabit dipercayai memperoleh bekalan dadah dari Puchong, Selangor yang didalangi warga tempatan untuk diedarkan di sekitar daerah Temerloh.
“Berdasarkan analisa dibuat, rampasan jenis Heroin dengan anggaran berat 1552.6 gram boleh dibekalkan kepada 3,105 penagih dadah dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.5 gram,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, ketiga-tiga suspek telah direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula Isnin lalu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana jika disabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati dan penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 15 sebatan.
“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya di mana jika disabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan dikenakan sebatan tidak kurang tiga sebagan tetapi tidak lebih sembilan sebatan,” katanya. – UTUSAN