Polis nafi halang penyokong Perak FC tonton perlawanan bola - Utusan Malaysia

Polis nafi halang penyokong Perak FC tonton perlawanan bola

MIOR Faridalathrash Wahid (kiri) beramah mesra dengan peniaga pada Program Pemantauan SOP Covid-19 di Bazar Ramadan Stadium Indera Mulia di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis Perak menafikan dakwaan kononnya menghalang penyokong pasukan Perak masuk ke stadium bagi menonton perlawanan bola sepak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan seumpama itu sebaliknya penyokong dibenarkan masuk ke dalam stadium asalkan mempunyai tiket perlawanan yang sah.

“Kita tidak boleh halang masyarakat menonton perlawanan bola sepak. Jika ada tiket yang sah, kita akan benarkan mereka masuk.

“Setakat ini, memang tiada maklumat yang kita larang (hadir ke stadium). Pihak polis hanya membuat pemeriksaan rapi supaya mereka yang datang ini tidak membawa masuk benda-benda yang tidak dibenarkan seperti senjata.

“Berkaitan larangan membawa gendang, itu terpulang kepada pihak pengurusan stadium. Jika mereka larang, maka kita akan halang daripada ia dibawa masuk,” katanya ketika ditemui selepas program pemantauan operasi standard (SOP) Covid-19 dan High Profile Policing (HPP) di bazar Ramadan di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan segelintir penyokong bola sepak Perak FC yang mendakwa polis dikerahkan ke Stadium Perak bagi menghalang kelab penyokong memasuki stadium.

Isu berkenaan dikatakan timbul selepas perlawanan Piala FA antara Perak FC dan Kijang Rangers FC pada 31 Mac lalu apabila sebahagian penyokong menyanyikan lagu bersifat provokasi terhadap pemilik Perak FC, Impact Media & Communication Sdn. Bhd. (IMC).

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan beliau berkata, sebanyak 115 kompaun dikeluarkan kepada peniaga dan pengunjug membabitkan pelanggaran SOP di semua 106 bazar Ramadan di seluruh negeri.

Katanya, kesalahan gagal mendaftar masuk premis merekodkan kompaun tertinggi sebanyak 91 kes diikuti tidak memakai pelitup muka dengan 23 kes dan satu kes kerana peniaga gagal menyediakan dan memastikan pengunjung mengimbas kod QR.

“Kita telah membuat teguran, jika tidak diambil teguran itu maka kita akan mengeluarkan kompaun ke atas individu yang gagal mematuhi SOP ditetapkan. Kita tidak akan berkompromi dalam hal ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN