PETALING JAYA: Polis mengesan tiga lelaki yang cuba meloloskan diri daripada polis dan melanggar beberapa kenderaan orang awam di Metro Perdana, Jalan Kepong dekat sini petang semalam.
Ketiga-tiga lelaki yang menaiki sebuah Proton Satria dipercayai dicuri itu dilihat dalam keadaan mencurigakan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Kepong sebelum cuba ditahan polis.
Bagaimanapun, kumpulan itu cuba melarikan diri dan merempuh beberapa kenderaan lain namun seorang daripada tiga suspek berjaya diberkas manakala dua lagi melarikan diri dan sedang diburu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan awal mendapati suspek cuba melarikan diri semasa sepasukan anggota kereta peronda polis (MPV) yang membuat rondaan di MRR2 terserempak dengan kereta dinaiki mereka.
“Hasil semakan sistem mendapati nombor pendaftaran kereta yang digunakan tidak sama dengan jenis kereta yang dipandu.
“Berikutan itu, petugas MPV bertindak menghampiri kereta Satria terbabit namun secara tiba-tiba pemandu kereta itu memecut laju dengan cara berbahaya ke arah Kepong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Eng Lai, keadaan jalan raya yang sibuk serta sesak menyebabkan pemandu kereta Satria melanggar beberapa kenderaan orang awam serta sebuah motosikal penghantar makanan yang sedang bergerak bagi meloloskan diri.
Jelasnya, akibat terperangkap dalam kesesakan di kawasan Metro Perdana, Jalan Kepong,seorang daripada tiga suspek akhirnya berjaya ditahan manakala dua lagi suspek melarikan diri.
“Hasil semakan pihak polis mendapati kereta Satria yang ditahan ini dilaporkan hilang di Taman Melawati pada 9 April lalu.
“Semakan mendapati suspek berusia 25 tahun yang ditahan mempunyai dua rekod kesalahan jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah. Suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, pihaknya menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti pembabitan mereka dalam sindiket kecurian kenderaan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dalam melaksanakan tugas,” katanya.
Polis Kuala Lumpur menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini untuk tampil memberikan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 bagi membantu siasatan. – UTUSAN