fbpx

PM setuju bincang isu ganja, ketum dalam Kabinet

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju membincangkan isu-isu dasar berkaitan industri hem, ganja untuk tujuan perubatan dan ketum bagi kegunaan di negara ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Kaukus Medical Cannabis yang memaklumkan ia dicapai semasa mengadakan pertemuan rasmi bersama Perdana Menteri yang dikongsikan di Facebook Pengerusinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini.

“Perdana Menteri telah memberi respons yang positif dan isu-isu berkaitan industri ini akan dibincang dan diperhalusi dengan lebih teliti dalam mesyuarat Kabinet.

“Selain itu, Kaukus Medical Cannabis juga membangkitkan isu berkaitan rakyat Malaysia yang didakwa di mahkamah dan disabitkan bersalah kerana penggunaan ganja untuk tujuan perubatan. Pandangan perundangan juga menjadi perhatian utama dalam pertemuan rasmi itu.

“Kaukus Medical Cannabis mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian Perdana Menteri atas sesi pertemuan rasmi sebentar tadi. Kerjasama yang erat dalam isu ini sudah pasti akan memberikan manfaat yang besar kepada rakyat dan negara.,” kata kenyataan yang dikongsikan itu.

Menurut kenyataan itu, Kaukus Medical Cannabis percaya bahawa Malaysia mempunyai ruang dan peluang yang besar dalam industri ini untuk tujuan perubatan, penyelidikan dan mampu memberi manfaat besar kepada negara.

“Industri ini adalah satu industri yang sedang giat dibangunkan oleh banyak negara-negara luar. Lebih 40 buah negara sudah membenarkan penggunaan kanabis untuk perubatan.

“Nilai pasaran industri ini cecah RM60 bilion. Malah, negara jiran seperti Thailand juga sedang mengkaji industri ini untuk negara mereka,” jelasnya. 

Kaukus Medical Cannabis adalah jalinan kerjasama dwipartisan antara ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!