PUTRAJAYA: Lebih 600 penjawat awam berpeluang dapat berbuka puasa bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di kediaman rasmi beliau di sini hari ini.
Majlis yang julung kali diadakan itu berlangsung di dataran terbuka Laman Sari dengan beliau tiba pada pukul 7.05 petang sebelum beramah mesra dengan tetamu di meja masing-masing.
Menyambut kedatangan beliau pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah.
Program berkenaan turut disertai sekumpulan 31 orang anak asnaf dan lima pengiring dibawa khas dari Rumah Amal Baitul Barokah Wal Mahabbah, Kampung Giching, Sepang, Selangor.
Acara dimulakan dengan berbuka puasa disusuli solat fardu Maghrib dan kemudian diteruskan solat fardu Isyak serta solat sunat tarawih di khemah khas yang disediakan. – UTUSAN










