PASIR MAS: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pakaian, selipar dan beg seludup bernilai RM208,610 dipercayai untuk jualan sempena Aidilfitri selepas menahan sebuah lori di Pasar Tasek Raja, di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 7.35 malam itu, PGA turut menahan dua lelaki berusia 29 dan 35 tahun yang masing-masing bertindak sebagai pemandu serta kelindan lori bagi membantu siasatan lanjut.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintenden Azhari Nusi berkata, hasil pemeriksaan ke atas lori itu menemukan 3,181 helai pakaian pelbagai jenama, 250 pasang selipar dan tujuh buah beg yang disembunyikan di bahagian belakang kenderaan.
“Kesemua barang yang dirampas dipercayai diseludup dari Thailand melalui pangkalan haram. Berdasarkan siasatan awal, kita percaya barangan ini untuk diedarkan di beberapa lokasi di sekitar Kota Bharu bagi memenuhi permintaan tinggi di musim perayaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azhari memberitahu, hasil soal siasat, suspek mengaku menerima gaji bulanan sebanyak RM1,800 serta komisen bergantung kepada jumlah kekerapan penghantaran yang dilakukan.
“Kesemua rampasan dan tangkapan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk siasatan lanjut mengikut Akta Cap Dagang 2019,” katanya. – UTUSAN










