Pesawat MH2664 alami kegagalan 'pitot-static-system' - CAAM - Utusan Malaysia

Pesawat MH2664 alami kegagalan ‘pitot-static-system’ – CAAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Laporan awal siasatan insiden pesawat Malaysia Airlines Bhd. (MAB) penerbangan MH2664 mendedahkan pesawat itu mengalami kerosakan pada ‘pitot-static-system’.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Chester Voo berkata, laporan awal itu diperoleh menerusi data yang diekstrak daripada Perakam Data Penerbangan (FDR) pesawat berkenaan.

Beliau berkata, sistem (pitot-static-system) itu adalah instrumen penting bagi mengukur perbezaan tekanan untuk menentukan kelajuan dan ketinggian udara ketika pesawat berada di udara.

“Kegagalan sistem itu juga boleh menghasilkan petunjuk kelajuan palsu di atas pesawat yang akan mengakibatkan pesawat itu boleh menjunam dan nyahaktifkan autopilot.

“Sebagai tindak balas kepada insiden itu, juruterbang pesawat sudah bertindak dengan betul dan mengambil tindakan segera bagi mendapatkan semula kawalan pesawat.

“Ia penting bagi memastikan pesawat itu berada di bawah kawalan berdasarkan baki petunjuk tepat dengan menggunakan baki instrumen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, ketika pesawat berada dalam keadaan tidak stabil itu, data keselamatan menunjukkan input mendadak daripada juruterbang semasa percubaan untuk mendapatkan semula kawalan.

Justeru, katanya, tindakan awal oleh kru penerbangan (juruterbang) itu adalah mencukupi berdasarkan laporan siasatan awal oleh CAAM dan FDR.

Pada masa sama, Chester berkata, pihaknya juga mengarahkan MAB supaya meningkatkan program Upset Prevention and Recovery Training (UPRT) yang menekankan reaksi awal dan masa diambil terhadap apa-apa isu.

Menurutnya, pihaknya juga mahu MAB mengeluarkan memo keselamatan yang dipertingkatkan kepada juruterbang bagi keperluan tindakan awal yang lebih baik.

“MAB juga diminta supaya melakukan kajian analisis daripada syarikat pengeluar pesawat iaitu Boeing bagi mengenal pasti masalah dan punca dihadapi pesawat itu.

“Kami juga mahu MAB menyelesaikan pemeriksaan ke atas ‘pitot-static-system’ termasuk ujian pemanasan dan rintangan bagi semua siri pesawat B737-800 yang dimiliki syarikat penerbangan itu,” katanya.

Katanya, CAAM juga mengesahkan bahawa pesawat (MH2664) itu tidak lagi dibenarkan terbang sementara sehingga diberitahu kelak selain menunggu analisis teknikal Boeing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya