SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan diminta mempertimbangkan semula pelaksanaan ketetapan yang telah diambil berhubung Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) yang perlu melepaskan sebarang jawatan dipegang mereka di masjid dan surau di negeri ini.
Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Senaling) berkata, pihaknya faham dan akur dengan ketetapan yang diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkenaan hal itu sebelum ini namun meminta ia dipertimbangkan semula pelaksanaannya dengan mengambil kira aspek perpaduan di peringkat akar umbi.
“Saya ingin tekankan dari segi pelaksanaannya, iaitu untuk kerajaan negeri mempertimbangkan semula, saya melihat dari perspektif perpaduan, kerana perpaduan sesuatu perkara yang amat utama bukan sahaja dalam agama Islam tetapi dalam agama lain juga.
“Jawatan imam dan sebagainya saya faham mereka dibayar elaun oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), tetapi bagi jawatan nazir, mereka ini lantikan ahli kariah, apabila mereka ini diminta meletakkan jawatan, saya rasa ia tidak baik untuk perpaduan ahli kariah kawasan tersebut.
“Nazir bukannya jawatan dibayar elaun atas jawatan tersebut, tidak bolehkah jawatan nazir ini dikekalkan?” Soalnya sewaktu berucap membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja sewaktu Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kelima DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14 di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan tersebarnya surat bertarikh 28 Januari 2022 berhubung pemakluman jawatan lantikan kerajaan negeri yang berkepala surat daripada JHEAINS kepada bahagian pengurusan masjid dan surau di seluruh negeri ini.
Surat tersebut memaklumkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 12 Januari lepas membuat ketetapan bahawa mana-mana jawatankuasa kariah masjid dan surau atau pegawai masjid dan surau yang ditawarkan sebagai Pengerusi JPKKP hendaklah melepaskan jawatan yang dipegangnya di dalam masjid dan surau tersebut atau menolak tawaran sebagai Pengerusi JPKKP.
Perkara tersebut menimbulkan rasa kurang senang terutama dalam kalangan Pengerusi JPKKP terlibat dan mereka mendesak supaya kerajaan negeri menyatakan alasan dan sebab kukuh atas ketetapan tersebut.
Mengulas mengenai perkara berkenaan tidak lama selepas itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan kewujudan JPKKP mempunyai agenda politik dan ketetapan yang diambil kerajaan negeri itu bertujuan mengelak berlaku perpecahan dan perbalahan di masjid dan surau.
Sementara itu, Adnan menambah, beliau meminta pelaksanaan ketetapan tersebut dipertimbangkan semula kerana untuk mencari seseorang yang boleh menjalankan tugas memimpin di masjid dan surau ketika ini adalah sukar.
“Bukan mudah sekarang ini untuk mencari kepemimpinan di masjid, tetapi adanya arahan sebegini, saya melihat, tidak bolehkah dipertimbangkan semula pelaksanaan ini supaya kita boleh hidup bersama. Jika dia JPKKP, tidak bolehkah mereka duduk bersama dalam barisan jawatankuasa masjid dan surau bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), seharusnya kita memandang dari perspektif ini,” katanya. – UTUSAN










