BUKIT GANTANG: Pertemuan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi parti Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini hanya ziarah biasa dan tiada isu khusus termasuk perkara politik dibincangkan dalam perjumpaan itu.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, pertemuan antara dua presiden parti itu hanya kunjungan dan ziarah sahaja.
“Tiada isu khusus yang dibincangkan dalam pertemuan itu, ia sekadar ziarah biasa sebagai seorang Islam.
“Lagi pula sudah menjadi sifat seorang Muslim dan sifat kebiasaan Tok Guru untuk menziarahi sesiapa sahaja sekiranya beliau mempunyai masa dalam kelapangan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis sumbangan Ihya Ramadan kepada masjid, surau, Sekolah Agama Rakyat SAR persendirian dan rumah anak yatim bagi kawasan Parlimen Bukit Gantang di Changkat Jering di sini hari ini.
Turut hadir Orang Besar Jajahan (OBJ) Daerah Larut Matang Selama, Datuk Wan Mohd. Isa Wan Mohd. Razali.
Menurut Idris, semua pihak tidak perlu membuat sebarang spekulasi yang mengundang persepsi negatif terhadap Presiden Pas itu atas kunjungan yang hanya menziarahi Mahathir.
“Sejak dulu lagi Tok Guru berjumpa dengan semua orang termasuk dengan Tun Mahathir sebelum menjadi Perdana Menteri semasa Pakatan Harapan memerintah lagi, jadi tak ada isu pun tentang perkara ini,” katanya.
Sementara itu, Idris turut mengulas permohonan Pemuda dan Dewan Muslimat Pas Bagan Serai yang mahu calon Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN) bertanding di Parlimen Bagan Serai dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, mereka boleh bersuara atas apa yang mereka fikir tentang kepentingan dan kehendak bagi rakyat di tempat itu.
“Namun perkara itu belum lagi dibincangkan di peringkat Pusat, jadi kena bersabarlah dahulu,” katanya. – UTUSAN ONLINE









