PUTRAJAYA: Majikan yang mahu mendapatkan perkhidmatan pekerja warga asing perlu membuat permohonan lengkap secara dalam talian bagi membolehkan ia diproses dengan lancar.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, sebarang permohonan yang dibuat secara manual tidak akan dipertimbangkan.
Menurut beliau, majikan juga perlu memastikan semua permohonan dalam talian yang dikemukakan lengkap bagi mengelakkan permohonan tersebut ditolak atau tidak dapat diproses.
“Permohonan pekerja warga asing ini telah mula diproses dan sehingga kini, seramai 2,605 pekerja warga asing telah diluluskan dalam sektor perkilangan dan perladangan.
“Bagaimanapun, terdapat permohonan yang tidak dapat diproses kerana dokumen tidak lengkap dan tidak membawa salinan dokumen asal, maklumat salah, jumlah melebihi kuota dan pelbagai sebab lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saravanan berkata, sebanyak 475,678 permohonan pekerja warga asing telah diterima dalam sektor perkilangan (290,248), perkhidmatan (77,000), perladangan (53,854), pembinaan (43,519), pertanian (11,037) serta perlombongan dan pengkuarian (20), sehingga 1 April lalu.
“Permohonan oleh majikan untuk pekerja warga asing bagi semua sektor pekerjaan yang dibenarkan penggajian pekerja warga asing telah dibuka pada 15 Februari lalu,” katanya. – UTUSAN