PETALING JAYA: Perkahwinan bawah umur boleh memberi kesan kepada kesihatan mental pasangan apabila golongan itu masih berada di alam remaja dan mempunyai pemikiran tidak matang.
Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar), Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, jika had umur perkahwinan dapat ditingkatkan menerusi perundangan negara, ia mendatangkan kesan positif.
Menurut beliau, menetapkan had umur perkahwinan 18 tahun akan menghalang eksploitasi golongan remaja di negara ini.
“Saya rasa, kita juga perlu selarikan perkara ini dengan hukum syarak, kalau boleh, kita buat satu usaha bersepadu untuk mengekang perkara ini dan biar dalam kalangan para alim ulama untuk turut serta dalam usaha tersebut.
“Pada masa sama, kita tidak mahu mempromosikan kahwin lewat dalam kalangan masyarakat. Jadi, kahwin awal itu bukan pernikahan di bawah umur tanpa pelbagai persediaan seperti mental dan fizikal,” katanya semasa dihubungi Mingguan Malaysia.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar yang mencadangkan had umur minimum perkahwinan wajar ditetapkan pada umur 18 tahun.
Hal ini bagi mengawal perkahwinan tersebut daripada berdepan masalah melibatkan perundangan, pendidikan, kesihatan dan sosial.
Mohd. Roslan menambah, perkahwinan bawah umur seboleh-bolehnya perlu dielakkan yang mana dari sudut sudut psikologi, individu yang berusia atas 11 tahun dianggap sebagai remaja.
Dalam fasa itu juga, katanya, mereka mengalami pelbagai perubahan emosi dan mental yang mana jika dibiarkan, akan menjejaskan kehidupan mereka seterusnya membawa kepada penceraian.
“Andai kata, golongan tersebut berkahwin di bawah umur, yang mana mereka kurang berpengalaman untuk menyelesaikan masalah di kemudian hari, bagaimana mereka mahu menghadapi cabaran di alam perkahwinan? Ia akan menimbulkan tekanan.
“Sepatutnya di dalam fasa kehidupan itu, mereka sepatutnya berada dalam alam persekolahan, sekurang-kurangnya mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sekarang, mahu kerja pun memang perlu kelayakan,” soalnya. – UTUSAN