PETALING JAYA : Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 pada 1 Mei ini membabitkan seseorang majikan mengambil kerja lima orang pekerja atau lebih.
Warta Kerajaan Perintah Gaji Minimum 2022 diterbitkan Jabatan Peguam Negara semalam memaklumkan, ketetapan itu terpakai membabitkan majikan tanpa mengira bilangan pekerja diambil dan menjalankan aktiviti profesional dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia sebagaimana diterbitkan secara rasmi oleh Kementerian Sumber Manusia.
“Berhubung dengan seseorang pekerja tidak dibayar gaji pokok tetapi dibayar gaji hanya berdasarkan upah ikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen, kadar gaji bulanan yang kena dibayar kepada pekerja itu berkuat kuasa mulai 1 Mei 2022 hendaklah tidak kurang daripada RM1,500.
“Perenggan ini terpakai bagi pekerja yang diambil kerja oleh seseorang majikan yang mengambil kerja lima orang pekerja atau lebih,” jelas warta tersebut.
Dalam pada itu, warta itu menyebut pengecualian pelaksanaan gaji minimum itu pada 1 Mei ini dengan membabitkan majikan mengambil pekerja kurang daripada lima orang pekerja apabila pelaksanaannya pada 1 Januari 2023.
“Berhubung seseorang pekerja tidak dibayar gaji pokok tetapi dibayar gaji hanya berdasarkan upah ikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen, kadar gaji bulanan yang kena dibayar kepada pekerja itu berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023 hendaklah tidak kurang daripada RM1,500.
“Perenggan ini terpakai bagi pekerja diambil kerja oleh seseorang majikan yang mengambil kerja kurang daripada lima orang pekerja,” jelas warta itu.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara. –UTUSAN