KANGAR: Ketika umat Islam berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih sepanjang Ramadan, penyeludup pula ‘sibuk’ pada waktu tersebut melakukan aktiviti penyeludupan ketum di perairan Kuala Perlis.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, aktiviti itu semakin rancak pada bulan puasa memandangkan permintaaan ketum yang tinggi di Thailand untuk dijadikan minuman komersial.
Katanya, penyeludup menggunakan peluang menyeludup pada waktu-waktu itu kerana beranggapan anggota dan penguat kuasa leka ketika berbuka puasa.
“Selain itu, mereka (penyeludup) juga dipercayai menjalankan penyeludupan pada sebelah malam dan awal pagi sehingga waktu Imsak. Ini kerana pergerakan sebelah malam lebih selamat berbanding pada waktu pagi.
“Bagaimanapun, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperketat rondaan dan pemantauan di perairan sempadan 24 jam bagi mengekang aktiviti jenayah di laut,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan bubur lambuk kepada komuniti nelayan di Kuala Perlis di sini, semalam.
Sementara itu, Mohd Hashim berkata, dalam tempoh tiga bulan sehingga Mac tahun ini sahaja, sebanyak 479 kilogram ganja dan 100 biji pil kuda bernilai RM2.3 juta dirampas Maritim Malaysia Zon Kuala Perlis.
Katanya, rampasan ketum dalam tempoh sama pula sebanyak 5.5 tan metrik dengan nilai RM936,000.
“Aktiviti penyeludupan di laut lazimnya menggunakan bot fiber enjin berkuasa tinggi atau bot nelayan tempatan kelas (A) bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Apabila penyeludup menggunakan laluan laut, mereka lazimnya membawa muatan daun ketum yang banyak sehingga lebih satu tan metrik berbanding laluan darat dengan kuantiti yang kurang sedikit.
“Antara faktor penyeludup lebih memilih laluan laut sejak kebelakangan ini adalah disebabkan kawalan penguatkuasan yang ketat di laluan sempadan darat. Selain itu, permintaan tinggi ketum di Thailand mendorong kepada aktiviti penyeludupan itu,” katanya.
Tambahnya, jarak persempadanan yang dekat serta boleh membawa ketum dalam kuantiti yang banyak menjadi antara faktor penyeludup memilih laluan laut.
“Faktor lain (penyeludup memilih laluan laut) adalah seperti peluang melepaskan diri lebih terbuka berbanding jalan darat dan pergerakan membawa ketum ke Thailand boleh dilakukan pada bila-bila masa bersesuaian,” katanya. – UTUSAN