MERSING: Seorang daripada empat penyelam warga Eropah yang hilang ketika melakukan latihan menyelam di Pulau Tokong Sanggol, di sini ditemukan dalam keadaan selamat.
Kristine Grodem, 35, wanita warga Norway itu dibawa ke Stadium Mersing pada pukul 12.05 tengah hari dengan menggunakan pesawat udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Mangsa dilihat berada dalam keadaan baik selain mampu berjalan kaki ketika tiba ke padang stadium berkenaan.
Jurulatih selaman itu kemudian dibawa menaiki ambulans ke Hospital Mersing untuk menerima rawatan lanjut.
Sementara itu, nasib tiga lagi mangsa yang merupakan pelatih kepada Kristine masih belum diketahui.
Mereka terdiri daripada dua beranak warga Britain, Adrian Peter, 46, dan anaknya, Nathan Renze, 14, yang merupakan warga Belanda serta remaja wanita warga Perancis, Alexia Alexandra, 18.- UTUSAN










