BAYAN LEPAS: Seorang pemuda mengalami kecederaan parah apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh bahagian belakang sebuah kereta sebelum terpelanting masuk ke ruang penumpang dalam kejadian di lampu isyarat Sungai Tiram, di sini malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 11 malam itu berlaku semasa mangsa yang berusia 25 tahun dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Ara dari arah Teluk Kumbar.
Mangsa yang masih bujang dan berasal dari Sarawak itu dikatakan menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC manakala kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Cherry Easter tersebut dipercayai dipandu seorang wanita.
Rakan mangsa, Muhammad Zulakmal Mohd. Noor, 25, berkata, pemuda itu sehingga kini dilaporkan masih tidak sedarkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.
Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai operator kilang di Bayan Lepas dikatakan mengalami pendarahan teruk pada kepala selain kecederaan dalaman pada badan.
“Saya dimaklumkan daripada rakan rumah sewanya mengenai kejadian berlaku dan terus ke hospital pagi tadi. Dia masih tidak sedarkan diri dan berlaku banyak pendarahan.
“Semasa kejadian, dia menunggang motosikal seorang diri dan tidak pasti bagaimana kejadian rempuhan berlaku sehingga boleh terpelanting dan masuk ke bahagian belakang kereta itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru turut membantu mengeluarkan mangsa yang semasa itu berada dalam keadaan separuh sedar. – UTUSAN










